Keadaan Toyota Avanza yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
TUARAN: Seorang cedera parah dan enam lagi, termasuk dua kanak-kanak, cedera ringan dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Toyota Avanza dan Nissan Navara di Kampung Kapa, di sini, awal pagi ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO)Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui MERS999 pada jam 3.02 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dihantar ke lokasi kejadian.
Sebuah jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.20 pagi, yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai. Operasi menyelamat diketuai oleh Komander Operasi PBK II Ab Azman Asiman dengan kekuatan 13 anggota, dibantu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdapat tujuh mangsa terlibat dalam kemalangan ini. Seorang lelaki berusia 34 tahun yang berada di dalam Toyota Avanza mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi penumpang lelaki berusia 35 tahun mengalami kecederaan parah. Selain itu, empat penumpang lain, termasuk dua kanak-kanak perempuan, mengalami kecederaan ringan.
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan seorang mangsa lelaki yang tersepit di dalam Toyota Avanza sebelum menyerahkannya kepada pihak perubatan untuk rawatan lanjut.
Dalam Nissan Navara, pemandunya, seorang lelaki berusia 35 tahun, turut mengalami kecederaan ringan. Kesemua mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 pagi.


































