Dr. Ramzah Dambul
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah akan menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bertajuk “Memperkasa Wanita: Menuju Masa Hadapan yang Lebih Inklusif” di Bilik Kapalai, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Selasa ini (18 Mac).
Perbincangan ini bertujuan mengupas isu-isu, cabaran, serta strategi dalam memperkasa wanita dari aspek sosioekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul dalam satu kenyataan berkata, wanita memainkan peranan yang semakin signifikan dalam sektor ekonomi, sosial dan pentadbiran negeri.
“Dengan memberi mereka akses kepada peluang serta mewujudkan ekosistem sokongan yang kondusif, kita dapat memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.”
Sesi perbincangan ini akan menampilkan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, pakar ekonomi, serta wakil sektor awam dan swasta.
Fokus utama adalah membincangkan cabaran yang dihadapi wanita dalam pelbagai sektor serta meneroka inisiatif bagi memperluaskan penyertaan mereka dalam pembangunan negeri.
Selain itu, sesi ini akan meneliti pelbagai inisiatif termasuk program latihan kemahiran, sokongan keusahawanan, program kepimpinan wanita dan pengukuhan kapasiti.
Pendekatan bersepadu ini bertujuan memastikan wanita bukan sahaja diberi ruang untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial, tetapi juga mempunyai suara dalam pembuatan dasar dan keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Dr. Ramzah berkata, NGO memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup wanita, khususnya di peringkat akar umbi.
“NGO bukan sahaja menjadi penggerak utama dalam menyuarakan isu-isu masyarakat, tetapi juga menganjurkan program latihan dan pembangunan kemahiran. Dengan kerjasama strategik bersama pemegang taruh utama, kita dapat memastikan usaha pemerkasaan wanita terus berjalan secara berterusan dan berimpak tinggi.”
IDS turut menegaskan keperluan meningkatkan keupayaan wanita dalam mempengaruhi proses pembuatan dasar dan polisi di Sabah. Penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan akan membantu melahirkan pemimpin yang berwibawa di peringkat pengurusan dan proses membuat keputusan.
Bagi memastikan peningkatan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan, termasuk akses kepada pembiayaan, bimbingan perniagaan dan jaringan sokongan keusahawanan yang kukuh.
Dengan komitmen berterusan daripada semua pihak, IDS yakin bahawa usaha memperkasa wanita akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih adil, progresif dan mampan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Siti Farizan Omar, Penyelaras Program, melalui emel: farizan.omar@ids.org.my atau telefon: 088-450500.


































