KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), melalui Taman-Taman Sabah, telah mengambil tindakan tegas di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2024) dengan mengeluarkan notis kompaun kepada lima individu yang terlibat dalam insiden gangguan terhadap penyu di Pulau Manukan yang tular baru-baru ini, serta syarikat yang bertanggungjawab.
Menteri KePKAS, Datuk Seri Christina Liew, berkata pihaknya memandang serius insiden tersebut, menegaskan bahawa tindakan individu dalam video berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip pemuliharaan marin yang dipelihara oleh Kerajaan Sabah.

Christina Liew
Kementerian menyeru semua pengusaha pelancongan supaya memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dan beretika dalam memastikan pelancong serta kakitangan mereka mematuhi garis panduan serta peraturan yang telah ditetapkan.
“Kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan ini amat penting bagi memastikan kelestarian ekosistem marin Sabah untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sabah tetap komited terhadap pemuliharaan alam sekitar dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang hidupan liar serta ekosistem semula jadi, sama ada di dalam atau di luar kawasan taman yang diwartakan.


































