Jahid menerima borang permohonan keahlian PBS daripada Liew, sambil diperhatikan oleh AJK Bahagian PBS Tamparuli.
TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.14 Tamparuli terus mendapat sokongan apabila seramai 18 ahli baharu dari Tenghilan menyertai parti itu kelmarin.
Kumpulan ahli baharu tersebut diketuai oleh seorang pesara kerajaan, Liew Kui Choi yang bersemangat tinggi dalam memperjuangkan masa depan politik Sabah.
Menurut Liew, penyertaan mereka dalam PBS merupakan langkah penting untuk memastikan hak dan kepentingan rakyat terus dibela. Beliau juga optimis bahawa lebih ramai akan menyertai perjuangan ini dalam masa terdekat.
“PBS adalah wadah terbaik untuk membela hak rakyat Sabah, khususnya generasi muda yang ingin melihat perubahan positif.
“Kami percaya kepimpinan dalam PBS mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya.
Borang keahlian mereka diterima oleh Timbalan Presiden PBS yang juga Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.
Menariknya, majoriti ahli baharu tersebut terdiri daripada golongan muda yang bersemangat untuk menyumbang kepada perjuangan PBS serta menjadi sebahagian daripada sejarah parti itu.
Sementara itu, Jahid mengalu-alukan kehadiran mereka dan menyatakan bahawa sokongan yang semakin meningkat ini membuktikan kepercayaan rakyat terhadap PBS sebagai parti yang konsisten memperjuangkan hak rakyat Sabah.
“Kemasukan ahli-ahli baharu ini menunjukkan bahawa PBS terus relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.
“Kita amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan bertekad untuk terus berjuang demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Tambah Jahid, PBS Bahagian Tamparuli akan terus bekerja keras dalam memperkukuhkan sokongan akar umbi serta memperjuangkan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

































