Gulamhaidar Khan Bahadar
KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) menawarkan Insentif Rebat Madani kepada peminjam pinjaman pengajian bermula April hingga Jun 2025.
Inisiatif ini membolehkan peminjam yang melunaskan baki pinjaman secara sekaligus menikmati rebat sebanyak 30 peratus daripada jumlah baki pinjaman mereka.
Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, program ini diperkenalkan sebagai tanda keprihatinan KYS dalam meringankan beban peminjam serta menggalakkan penyelesaian pinjaman secara penuh.
Tambahnya, ia juga sebagai penghargaan kepada peminjam yang konsisten membuat bayaran, sehingga membolehkan KYS mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM6.6 juta setahun bagi dua tahun berturut-turut yakni 2023 dan 2024.
“Seperti kaedah sedia ada, pembayaran boleh dibuat melalui Maybank2u bagi pelanggan Maybank, serta JomPAY dan perkhidmatan telegraf bagi bank lain.
KYS turut menyediakan alternatif lain seperti Arahan Tetap Bank, draf bank, cek, pembayaran tunai atau Kad Debit di kaunter di Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, serta di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kemudahan kepada peminjam, KYS turut melancarkan Portal Pembayaran Balik Pinjaman sejak Mac 2025.
“Portal ini berfungsi sebagai platform maklumat bagi peminjam yang telah menamatkan pengajian, menawarkan akses kepada maklumat pembayaran, insentif rebat, polisi pinjaman, soalan lazim, serta saluran perhubungan dengan Kumpulan Yayasan Sabah,” tambah beliau.
Untuk maklumat lanjut, portal ini boleh diakses di https://www.yayasansabahgroup.org.my/bppp/index.html. Selain itu, orang ramai boleh melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau menghubungi talian 011-33181088 / emel bayaranbalikpengajian@ysnet.org.my untuk keterangan lanjut.


































