Ahmad Rizal (lima dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Malai Ali, disaksikan oleh Tun Musa (tengah).
KOTA KINABALU: Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd menyasarkan rangkaian fiber optik 13,000km di seluruh Sabah dan WP Labuan menjelang hujung tahun ini, selaras dengan usaha memperluaskan akses jalur lebar kepada rakyat negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata berkata rangkaian fiber optik kini telah merangkumi semua bandar utama di Sabah dan sedang diperluaskan ke kawasan pedalaman serta perumahan.
“Setakat ini, semua bandar utama di Sabah sudah mempunyai rangkaian fiber optik. Fokus kami kini adalah memperluaskan liputan ke kawasan pedalaman dan meningkatkan sambungan ke kawasan perumahan.
“Pada masa ini, kami telah mencapai sekitar 10,000km rangkaian fiber optik, dan sasaran kami adalah untuk mencapai 13,000km menjelang hujung tahun.
“Tahun lalu, kami berjaya menambah 3,000km fiber optik, meningkatkan jumlah keseluruhan daripada kepada 10,000km. Bagi perkhidmatan Fiber-to-the-Home(FTTH), kami kini telah mencapai 150,000 sambungan,” ujarnya kepada media selepas menyerahkan zakat perniagaan CT Sabah bagi tahun 2025 berjumlah RM1 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya bertekad untuk terus mengekalkan jumlah zakat perniagaan untuk memberi manfaat kepada rakyat Sabah khususnya golongan asnaf.
“Jadi, kami mengharapkan ‘pattern’ ini akan berterusan dalam masa yang akan datang seiring dengan pertumbuhan perniagaan Celcom Timur Sabah Sdn Bhd.
“Setakat ini, estimate kita insyaAllah ada pergerakan yang positif dari segidevelopment of fiber optic cable yang kita laksanakan di seluruh negeri dan kami pun bertekad untuk maintain amount ini supaya berkekalan,” katanya.
Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Timbalan Yang di-Pertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Pengarah Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd Assan Nasip, Ketua Pegawai Eksekutif Zurinah Hanafiah serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali.


































