Nashraf Ideen Johan Terbaik MTHQ Sabah
KOTA KINABALU: Qari Putatan Nashraf Ideen Nahar, 32, dinobatkan sebagai Johan Terbaik Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Sabah Tahun 1446H/ 2025M, pada Ahad.
Beliau juga mengungguli tilawah Al-Quran kategori dewasa bahagian qari dengan memperoleh markah berjumlah 94.25 peratus, diikuti qari Kota Belud Muhammad Umar Jiman (91.25 peratus) sebagai naib johan dan Abdullah Abdul Wahid tempat ketiga (88.75 peratus) mewakili Daerah Semporna.
Sementara itu, wakil Keningau Nadirah Syazwani Sapari, 26, pula meraih johan qariah dengan markah 89.75 peratus manakala wakil Putatan, Pangiran Dg. Saliah Awang Salleh memenangi naib johan dan wakil Semporna, Norasmah Abdul Wahid di tangga ketiga dengan markah 81.25 peratus.
Nashraf dan Nadirah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, baucer dan pakej umrah sumbangan TH Travel, piala iringan dan jam tangan sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan serta sepersalinan pakaian sumbangan JAKIM di samping buku-buku agama.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang turut ditemani isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Bagi kategori remaja, johan dimenangi Muhammad Iqmal Hidayat Tarib dan Ain Fatihah bagi kategori masing-masing.
Di samping itu, johan hafazan tahap satu kategori hafiz dimenangi wakil Kota Belud, Mohammad Khayruddin Zakwan Jaimis dan Fariha Noorakma Mujim (Papar) bagi kategori hafizah.
Bagi hafazan Al-Quran tahap dua pula, peserta Tawau merangkul kedua-dua kategori menerusi Ahmad Syafieq Hidayat Lasiri dan Nur Atikah Fathiah Qistina Ahmad Fauzi.
Selain itu, Muhammad Fathi Safwan Eshak dan Alia Rafidah Supu juga dinobatkan Johan Kategori Hafazan Al-Quran Tahap 1-30 juzuk beserta tafsir.


































