Mohamad (dua dari kiri) ketika menyerahkan cendera kenangan kepada Tun Musa (tengah).
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 dijangka akan diadakan di Kota Kinabalu pada Ogos ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Sabah dipilih menjadi tuan rumah selepas 30 tahun tidak dianjurkan di negeri ini.
“Pelbagai acara akan diadakan sepanjang sambutan HPPNK ini antaranya pameran-pameran, perniagaan dan juga pertunjukan peralatan-peralatan moden dalam pertanian seperti yang dibuat di Perak pada tahun lalu.
“Sabah dipilih menjadi tuan rumah kerana kali terakhir negeri ini dipilih menjadi tuan rumah HPPNK ialah 30 tahun lalu. Selain itu, negeri ini juga sesuai untuk perkembangan pertanian masa depan.
“Kita juga akan membuat promosi bagi sambutan HPPNK seperti road tour pada bulan Julai ini,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Menurut Mohamad, kunjungan hormat berkenaan bertujuan untuk mengeratkan lagi kerjasama kementerian dan negeri Sabah disamping turut memaklumkan HPPNK yang bakal diadakan di negeri ini.
Tambah beliau, kali terakhir HPPNK diadakan di Sabah pada tahun 1995.


































