Hajiji bersama Fauzan Maksud dan keluarganya di Rumah Mesra SMJ mereka di Kampung Serusup.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sekali lagi menggesa semua wakil rakyat dan pemimpin akar umbi harus terus memantau serta memastikan projek pembangunan di kawasan masing-masing disiapkan mengikut jadual.
“Saya telah memberitahu mereka yang berkenaan untuk merancang dan melihat apa keperluan rakyat. Ketua Kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mesti bersikap proaktif dalam hal ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu ketika ditemui selepas melawat tapak projek Rumah Mesra SMJ dan projek kecil di kawasannya hari ini.
Mengenai projek Rumah Mesra SMJ, Ketua Menteri berkata pelaksanaannya di seluruh negeri secara keseluruhannya adalah memuaskan.

Hajiji disambut oleh nelayan di jeti Serusup-Penimbawan.
“Mereka yang layak menerima Rumah Mesra SMJ adalah golongan yang benar-benar memerlukan. Oleh itu, ini adalah projek berimpak tinggi yang diberi keutamaan,” katanya.
Terdahulu, Hajiji melawat Kampung Lok
Batik, Kampung Pendamai, Kampung Tambalang, Kampung Indai dan Kampung Serusup untuk meninjau perkembangan projek di kawasan berkenaan.
Ini termasuklah projek menaik taraf jalan raya di Kampung Lok Batik dan Kampung
Pendamai, pembinaan Rumah Mesra SMJ di Kampung Indai dan Kampung Serusup,
serta pembinaan parit di Kampung Tambalang.
Ketua Menteri mengakhiri lawatannya di jeti Serusup-Penimbawan yang telah siap
dibina di Kampung Serusup.


































