Asteroid 2024 YR4 dikesan oleh Institut Astronomi Universiti Hawaii pada Disember lalu.
BEIJING: China dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memulakan usaha membentuk pasukan pertahanan khas susulan penemuan asteroid besar yang dijangka boleh melanggar bumi dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
Menurut Utusan Malaysia, steroid berukuran 91.44 meter lebar yang menyamai saiz Patung Liberty di New York atau Menara Jam Big Ben di London itu ditemui oleh Institut Astronomi Universiti Hawaii pada Disember lalu, sekali gus mencetuskan mekanisme tindak balas global selepas ia melepasi had pemantauan antarabangsa.
Badan Angkasa Eropah (ESA) pada Jumaat lalu mengemas kini kebarangkalian asteroid 2024 YR4 menghentam bumi pada tahun 2032 kepada 2.3 peratus, meletakkannya di tangga teratas dalam senarai risiko agensi itu.
“Ia telah berada dalam senarai pantauan NASA selepas pertama kali ditemui pada Disember 2024. Asteroid itu kini meluncur laju ke arah bumi pada kadar membimbangkan.
“Ahli astronomi di seluruh dunia menggunakan teleskop berkuasa untuk mengukur orbit asteroid itu setepat mungkin,” katanya.
Beberapa minggu selepas penemuan asteroid tersebut, sebuah pusat projek khas di bawah Pentadbiran Negara bagi Sains, Teknologi dan Industri untuk Pertahanan Negara China mengeluarkan notis pengambilan tenaga kerja bagi tiga jawatan dalam bidang pertahanan planet.
Menurut notis yang disiarkan dalam jurnal China Space Science and Technology bulan lalu, pusat itu sedang mencari graduan untuk mengkaji kaedah pemantauan asteroid serta membangunkan sistem amaran awal.
“Pada masa depan, kita bukan sahaja perlu memperkukuh peralatan dan prestasi teknologi, tetapi juga membina pasukan pakar yang khusus dalam pertahanan asteroid bagi menyumbang kebijaksanaan dan kekuatan China dalam melindungi keselamatan bumi,” kata Penyelidik Pusat Sains Angkasa Kebangsaan Akademi Sains China, Li Mingtao.
China sebelum ini mendedahkan konsep misi pertama pertahanan asteroid yang dirancang sekitar tahun 2030 di mana ianya bertujuan memerhati asteroid sebelum melanggarnya menggunakan kapal angkasa bagi mengubah laluannya.
Tambah Mingtao, asteroid itu berkemungkinan jatuh ke lautan atau musnah ketika memasuki atmosfera bumi, namun sekiranya ia melanggar kawasan daratan, gelombang kejutan dan radiasi yang dihasilkan boleh memusnahkan keseluruhan bandar.
Dalam pada itu, pihak NASA meminta bantuan daripada Teleskop Angkasa James Webb untuk mengkaji asteroid tersebut dan mengukur berapa banyak kerosakan yang akan berlaku jika ia menghentam bumi.
Berdasarkan pengiraan semasa, hentaman YR4 akan mencetus kesan yang hampir sama dengan asteroid Tunguska yang telah meratakan kawasan seluas 2,150 kilometer (km) persegi hutan Siberia, Russia pada tahun 1908.




























