KOTA KINABALU: Keputusan Kabinet Persekutuan untuk menggugurkan cadangan garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri acara di tempat ibadat bukan Islam adalah satu keputusan yang tepat dan wajar, kata pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan Persekutuan mengambil kira sentimen rakyat mengenai isu perkauman dan keagamaan.
“Berdasarkan apa yang kita baca di media, ia hanyalah satu cadangan, dan kami memahami bahawa perbincangan masih berlangsung.
“Namun, di Sabah, kita sentiasa mengamalkan semangat keharmonian, rasa hormat dan persefahaman yang unik dalam kalangan semua komuniti.
“Keunikan di Sabah dan Sarawak, di mana toleransi kaum dan agama sentiasa berada pada tahap tertinggi, harus diiktiraf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Joniston Bangkuai
Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Kerajaan Sabah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia, tetapi pada peringkat negeri, keperluan badan keagamaan bukan Islam tidak diabaikan.
“Sebagai contoh, tahun ini Kerajaan Sabah memperuntukkan sejumlah RM70 juta kepada badan keagamaan bukan Islam, peningkatan sebanyak RM13.25 juta berbanding peruntukan tahun 2024 sebanyak RM56.75 juta.
“Seperti yang sering ditekankan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, Kerajaan Negeri komited dan secara konsisten mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek bagi membantu rakyat, tanpa mengira kaum atau agama, demi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.
“Lembaga Pelancongan Sabah (STB) khususnya mempromosikan perpaduan melalui program seperti Harmony Walk/Run, yang merangkumi lawatan ke tempat-tempat ibadat seperti Masjid Negeri, Gereja Sacred Heart, Kuil Sikh Gurduwala dan Kuil Buddha Peak Nam Tung yang terletak berdekatan, bagi menonjolkan kewujudan bersama secara harmoni dalam masyarakat majmuk di Sabah.
“Dialog terbuka dan sikap saling menghormati kepercayaan antara satu sama lain sentiasa menjadi panduan dalam interaksi kita,” kata Pengerusi STB itu.
Beliau berkata, pendekatan Sabah sentiasa menekankan perpaduan melalui sikap saling menghormati, bukannya melalui garis panduan yang ketat.
“Kami yakin masyarakat berbilang agama dan kaum di Sabah akan terus berinteraksi antara satu sama lain dengan cara yang mengekalkan nilai-nilai bersama kita.”
































