OSLO: Kutub utara mencatatkan lonjakan suhu luar biasa melebihi 20 darjah Celsius pada Ahad lalu, melepasi ambang pencairan ais, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) di bawah Kesatuan Eropah (EU), semalam.
Menurut Utusan Malaysia, suhu di utara Svalbard, Norway, dilaporkan meningkat sehingga 18 darjah Celsius lebih panas berbanding purata suhu antara tahun 1991 hingga 2020 pada Sabtu, dengan suhu sebenar menghampiri titik lebur ais iaitu 0 darjah Celsius.
Pada Ahad, anomali suhu tersebut terus melonjak kepada lebih 20 darjah Celsius.
Menurut Saintis dari Institut Meteorologi Finland, Mika Rantanen, fenomena ini disifatkan pemanasan musim sejuk yang ekstrem.
“Mungkin bukan yang paling ekstrem pernah dicatatkan, tetapi ia masih berada di tahap tertinggi daripada apa yang boleh berlaku di kutub utara,” ujar Rantanen.
Tahun 2024 turut diisytiharkan sebagai tahun paling panas dalam sejarah kerana buat kali pertama, suhu purata global pada 2024 meningkat sebanyak 1.5 darjah Celsius berbanding era pra-industri pada tahun 1850-an.
Di kawasan kutub, pemanasan berlaku dengan lebih pantas disebabkan pencairan ais laut yang sebelum ini bertindak memantulkan cahaya matahari.
Data daripada C3S menunjukkan suhu purata harian meningkat lebih 20 darjah Celsius berbanding purata di kawasan berhampiran Kutub Utara pada Ahad, dengan suhu mutlak melebihi -1 darjah Celsius sehingga sejauh 87 darjah Lintang Utara.
Penemuan ini turut disahkan oleh pelampung salji Artik yang mencatatkan suhu mutlak 0.5 darjah Celsius pada hari yang sama.
Kutub utara dilaporkan memanas hampir empat kali lebih cepat berbanding purata global sejak tahun 1979 dan fenomena panas melampau ini semakin kerap berlaku.


































