Armizan Mohd Ali
Kuala Lumpur: Sebanyak 257 perusahaan di negara ini dikenakan penalti kewangan berjumlah RM571.5 juta setelah didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan penyalahgunaan kedudukan monopoli.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Armizan Mohd. Ali, berkata, penyiasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dibawah Akta 712, 257 perusahaan itu disabitkan dengan penglibatan kartel, manakala dua perusahaan lagi didapati menyalahgunakan kedudukan monopoli mereka.
“Setakat ini kes terbesar yang dicatatkan adalah berkaitan pakatan kartel oleh lima pengeluar makanan ayam, yang mana mereka dikenakan denda sebanyak RM415.5 juta.
“Kes ini merupakan sebahagian daripada 14 kes yang melibatkan 259 perusahaan dari pelbagai sektor, termasuk pengangkutan, pengilangan, makanan, perkhidmatan, pendidikan, insurans, pertanian, dan perolehan awam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen yang memintanya menjelaskan keberkesanan MyCC dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, berapa jumlah siasatan yang telah membawa kepada pendakwaan dan sabitan kesalahan yang berjaya bagi garis masa 2014 hingga 2024.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, MyCC kini sedang aktif menyiasat 13 kes yang melibatkan dakwaan kartel tipuan bida, yang melibatkan sebanyak 561 perusahaan dengan tender-tender bernilai keseluruhan RM2.3 billion.
“Bermula tahun 2024, MyCC telah melancarkan strategi khusus untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti kartel tipuan bida (bid rigging), salah satu cabang utama pelanggaran yang telah lama wujud.
“Penyiasatan ini untuk mengekang amalan yang menggagalkan usaha kerajaan dalam memartabatkan kaedah tender sebagai saluran utama perolehan awam.
“Bukan itu sahaja ia dilakukan untuk memperkukuhkan tatakelola sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.


































