Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tahun 2025 dan Perhimpunan Jabatan Perkhidmatan Awam di Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya.
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menetapkan lima tumpuan utama dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bagi memastikan perkhidmatan awam lebih telus, berintegriti dan diyakini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, lima tumpuan itu termasuk membangunkan modal insan berkualiti, menghayati nilai-nilai murni dan membangunkan organisasi dinamik.
Beliau berkata, tumpuan lain termasuk memperkukuhkan sinergi awam dan swasta serta merakyatkan penyampaian perkhidmatan.
“Diharapkan agar 2025 menjadi titik tolak kepada perkhidmatan awam untuk terus memperkasakan sistem penyampaian demi memenuhi harapan rakyat dan negara.
“Anggaplah setiap tugasan yang diberikan sebagai satu ibadah yang bukan sahaja mendatangkan keberkatan tetapi juga mencipta keseronokan bekerja,” katanya ketika berucap menyampaikan Amanat 2025 KPPA di sini hari ini.
Katanya, beliau mahu setiap penjawat awam terus meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan baharu terutama dalam tujuh bidang tujahan baharu negara.
Wan Ahmad Dahlan berkata, sebanyak 15 program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dengan 3,843 slot disediakan pada tahun ini.
“Bagi tujuan tujuh bidang tujahan baharu pula, sebanyak 140 slot program Program Pembangunan Kepakaran dan Perunding Kerajaan (PRESTIJ) bernilai RM56 juta untuk pegawai-pegawai yang layak daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional,” katanya.
Katanya, sebanyak RM50 juta pula akan disalurkan kepada 28 buah kementerian bagi melaksanakan kursus dan latihan jangka pendek bagi meningkatkan kompetensi fungsi pegawai merentasi semua gred dan skim perkhidmatan.
Bagi tumpuan penghayatan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam pula, Wan Ahmad Dahlan berkata, beliau mahu beberapa ikhtiar seperti usaha menyemarakkan nilai melalui nyanyian Lagu Negaraku dan Ikrar Rukun Negara diteruskan.
“Saya ingin menganjurkan di sini supaya modul pengurusan kewangan peribadi dijadikan sebagai satu daripada modul dalam Program Transformasi Minda (PTM),” katanya.
Dalam pada itu, katanya, JPA turut menekankan usaha pemerkasaan inovasi digital, pemantapan integriti, peningkatan kecekapan operasi dan pengoptimuman sumber manusia bagi perkhidmatan awam tahun ini.
“Justeru, melangkah ke tahun 2025, kita akan terus memacu perubahan dengan hala tuju yang lebih jelas,” katanya.
































