Tangkap layar rakaman video menunjukkan seorang lelaki membakar kenderaan dinaiki isterinya di Jalan Tebrau, Johor Bahru, Johor.
JOHOR BAHRU: Suami yang menyimbah petrol dan membakar kereta Toyota Vios milik isterinya dalam kejadian di Jalan Tebrau di sini, Ahad lalu ditahan polis di Bukit Pasir, Batu Pahat, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek berusia 26 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini.
“Bertindak atas laporan awal, polis telah menjalankan dua serbuan berasingan di Taman Sri Tebrau dan Bukit Pasir, Batu Pahat. Suspek berjaya ditahan malam semalam. Selain itu polis turut merampas kenderaan Toyota Vellfire dinaiki suspek semasa kejadian,” katanya.
Sebelum ini, polis memaklumkan, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham antara pasangan berkenaan.
Rakaman kejadian yang memaparkan seorang lelaki membakar kereta Toyota Vios berwarna putih sebelum melarikan diri turut tular dalam media sosial.


































