Penduduk bazar Siniawan di Kuching, Sarawak bersiap dipindahkan ke PPS .
PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di Sarawak dan Sabah terus mencatatkan penurunan melibatkan beberapa daerah setakat pukul 4 petang, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Kawalan Bencana Negara dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu membabitkan 11,773 mangsa di Sarawak dengan 56 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif melibatkan 3,472 keluarga di 18 daerah.
Di Sabah pula membabitkan 675 mangsa dengan empat PPS masih aktif melibatkan empat keluarga di dua daerah.
Trend penurunan mangsa banjir melibatkan daerah Bintulu, Serian, Selangau, Samarahan dan Kanowit.
Selain itu, beberapa daerah menunjukkan peningkatan mangsa banjir melibatkan Subis, Miri, Sebauh, Mukah dan Beluru manakala daerah Asajaya, Tatau, Siburan, Sebuyau, Simunjan, Gedung, Matu dan Sibu tidak berubah.
Mangsa di daerah Sabah tidak mencatatkan sebarang perubahan membabitkan 520 mangsa di Lahad Datu dan 155 mangsa di Tongod.
Situasi tanah runtuh di Miri, Sarawak juga mencatatkan tiada perubahan dengan jumlah mangsa seramai 132 orang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan hujan berterusan selama dua hari membabitkan beberapa daerah Sarawak bermula Selasa ini.
“Hujan berterusan dijangka berlaku di Sarawak melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Sarikei) dan Mukah dalam tempoh 4 Februari sehingga 5 Februari ini,” katanya.
































