Neymar
PARIS: Neymar menamatkan tempoh 18 bulan yang suram di Arab Saudi selepas kelabnya, Al-Hilal mengumumkan untuk menamatkan kontrak pemain itu dengan persetujuan bersama.
Menurut Utusan Malaysia, Bintang Brazil yang pernah bermain untuk Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu hanya beraksi tujuh kali sejak menyertai kelab itu pada Ogos 2023, walaupun dilaporkan menerima gaji sekitar AS$104 juta (RM456.39 juta) setahun.
Neymar, yang menjadi subjek perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak apabila menyertai PSG dari Barcelona pada 2017 dengan yuran perpindahan sebanyak 220 juta euro (RM1.01 bilion), menyertai Al-Hilal pada Ogos 2023.
Pemain berusia 32 tahun itu mengikuti jejak pemain bintang yang lain seperti Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema dengan menyertai liga Saudi yang menguntungkan itu.
Namun, dua bulan selepas ketibaannya di Riyadh, Neymar mengalami kecederaan di lutut kirinya ketika bermain untuk Brazil dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023, yang memaksanya untuk berehat sepanjang tahun.
Neymar kembali bermain untuk Al-Hilal dengan dua penampilan singkat pada Oktober dan November, tetapi kemudiannya mengalami kecederaan hamstring dan belum beraksi sejak itu.
“Kelab mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Neymar atas apa yang dia sumbangkan sepanjang kariernya bersama Al-Hilal dan mengucapkan selamat berjaya dalam kariernya,” kata Al- Hilal menerusi media social mereka.
Jurulatih kelab itu, Jorge Jesus, baru-baru ini berkata, Neymar sudah tidak boleh beraksi seperti waktu puncaknya dan sebab itu beliau terpaksa membuat beberapa pilihan lain.
“Dia sudah tidak dapat bermain pada tahap yang biasa kami lihat. Keadaan menjadi sukar untuknya,” kata Jesus.
Biarpun begitu, menerusi kenyataan terbarunya, Neymar beliau mensasarkan untuk bermain di Piala Dunia terakhirnya pada tahun hadapan di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.
“Saya tahu ini akan menjadi Piala Dunia terakhir saya, peluang terakhir saya dan saya akan melakukan segala yang saya boleh untuk memainkannya,” katanya.


































