SOOK: Sebuah kompleks sukan bernilai RM13 juta akan dibina di daerah ini, sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk meningkatkan kemudahan sukan dan riadah di kawasan luar bandar.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin mengumumkan bahawa projek ini telah diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Jemaah Menteri tahun lalu.
Menurutnya, peruntukan pembinaan kompleks sukan ini akan dimasukkan dalam Peruntukan Tambahan pada bulan Jun tahun ini.
“Lokasi dan tapak pembinaan kompleks ini sedang dikenal pasti,” ADUN Sook itu pada majlis perutusan Tahun Baharu 2025 di Pahun Ri Aki, Kampung Biah Tengah.
Ellron turut memaklumkan bahawa kertas kerja untuk mewujudkan sebuah pusat latihan Sukan Berprestasi Tinggi di kawasan N.45 Sook telahpun disediakan.
Pusat latihan ini, yang akan dibangunkan secara berfasa di Kampung Biah, Keningau, melibatkan tanah seluas 120 ekar. Projek ini bertujuan melahirkan atlet luar bandar yang cemerlang di samping menarik pelaburan dalam sektor sukan, sekaligus meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk tempatan.
Terdahulu, Ellron turut menyentuh tentang kejayaan menaik taraf Daerah Kecil Sook menjadi Daerah Penuh. Perubahan status ini telah disahkan pada 7 Ogos 2024, memberikan peluang kepada daerah ini untuk menerima lebih banyak peruntukan pembangunan.
Usaha menaik taraf ini, katanya, telah membolehkan penyediaan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk.
Beliau mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak khususnya Penolong Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin Jiugan dan staf Pejabat Daerah Sook kerana bersama-sama beliau mengurus perkara-perkara teknikal yang berkaitan sehingga Daerah Kecil Sook secara rasminya telah diwartakan sebagai Daerah Penuh pada 7 Ogos, 2024.
Antara pencapaian lain yang direalisasikan sepanjang tahun 2024 termasuk menaik taraf jalan kampung, jambatan konkrit, rumah ibadat dan pembinaan gelanggang sukan.
Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) turut membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman yang selesa.
Ellron juga menggalakkan lebih ramai penduduk Sook untuk menceburi bidang perniagaan. Pada tahun 2024, sebanyak 94 belia daerah Sook menerima bantuan Dana Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau berjanji untuk memastikan lebih ramai belia mendapat manfaat daripada dana ini pada tahun 2025.
Menangani isu tanah yang menjadi kebimbangan utama penduduk Sook, Ellron menegaskan komitmen beliau untuk memperhalusi setiap kes dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Ukur Daerah Keningau.
Beliau berikrar untuk memastikan penyelesaian yang tuntas dan adil bagi isu-isu yang berlarutan.
“Walaupun sibuk dengan urusan kerja, saya tetap komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Sook,” katanya.
Dengan pelbagai perancangan pembangunan dan usaha meningkatkan taraf hidup penduduk, Sook berada di landasan menuju masa depan yang lebih cerah.































