Arifin menyantuni pelajar ketika mengadakan lawatan Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation.
MEMBAKUT: Sabah dijangka mewujudkan pusat angkasa pertama di Asia Tenggara apabila kajian kebolehlaksanaan berjaya diluluskan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata pusat angkasa berkenaan dijangka mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkaitan industri angkasa kepada anak tempatan.
“Pusat angkasa ini kita dalam pelaksanaan kebolehlaksanaan. Sekarang dalam kajian dan kita menunggu peringkat akhir kajian.
“Selepas itu, akan kita bawa ke kementerian untuk kita murnikan. Kemudian kita akan kemukakan hasil kajian ini ke kabinet Negeri Sabah untuk ulasan dan pertimbangan dalam tahun ini, kita akan dapatkan hasil kebolehlaksanaan berkenaan.”Tujuannya lebih kepada menjadi pusat di peringkat ASEAN khususnya dari sudut pemasangan satelit, beberapa perkara serta melahirkan lebih kurang 300 produk berasaskan industri angkasa.
“Jadi, ia akan memberikan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan termasuk untuk menjadikan kita sebahagian daripada produk ini, sains dan teknologi,” jelas beliau selepas merasmikan Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation” di Dewan Kesenian dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim memaklumkan lokasi yang dikenal pasti di negeri ini bagi pelaksanaan pusat berkenaan amat sesuai dan berpotensi menghasilkan sumber ekonomi kepada negara.
Menurutnya, selain menjadi lokasi pelancaran, ia turut memberi sumber pendapatan hasil kepada industri perkapalan.
“Dari industri perkapalan kita, logistik, mereka akan untung tapi dia hanya untuk dalam lima tahun pertama.
“Lepas tu, kita akan buat rangkaian macam KKIP yang kita panggil Space Industrial Park.
“Jadi, semua itu nanti akan dibina di sini menjadi ekosistem industri angkasa dan itu yang dijangka dan lahirkan lebih ramai warga tempatan untuk menceburi STI,” katanya.


































