Dominic Tan (kanan) beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu.
KOTA KINABALU: Perlawanan timbal balik separuh akhir kedua bukan tugas mudah untuk Sabah FC, namun pasukan The Rhinos itu masih mempunyai peluang 50-50 untuk mara ke final Piala Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Jurulatih The Rhinos Martin Stano berkata, perlawanan pada aksi separuh akhir kedua tidak akan menjadi perlawanan mudah namun, sekiranya anak buahnya mampu bermain dengan baik, Sabah FC mampu mencipta kejayaan untuk mara ke peringkat akhir, tiada yang mustahil.
Beliau berkata, kelebihan bermain di laman sendiri gagal dimanfaatkan dalam perlawanan Sabtu apabila tidak banyak peluang-peluang yang dicipta untuk menjaringkan gol.
“Ini bukan keputusan yang kita mahu… sudah tentu kita mahu menang dan kita ada kelebihan bermain di laman sendiri.
“Biarpun kita menjaringkan gol 1-0 pada separuh masa pertama tapi kita tidak berjaya menguasai perlawanan kerana hantaran-hantaran yang tidak tepat dan hantaran jauh.
“Walau bagaimanapun, memasuki babak kedua perlawanan, kita bermain dengan lebih baik tapi, malangnya kita tidak mencipta peluang-peluang untuk menjaringkan gol. Tapi, kita masih ada satu lagi peluang bermain di Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, Sabtu.
Dalam perlawanan tersebut, Sabah FC dan Sri Pahang terikat dengan kedudukan seri 1-1.
Mengulas lanjut katanya, The Rhinos juga gagal memanfaatkan peluang apabila skuad Tok Gajah hanya bermain dengan 10 orang pemain apabila Manuel Hidalgo dilayangkan kad merah.
“Kita tidak dapat kelebihan itu sebab kita tidak cipta banyak peluang. Tapi, separuh masa kedua, biarpun kita cipta peluang namun, kita tidak menjaringkan gol tambahan.
“Walau bagaimanapun, kita masih memberi pengiktirafan terhadap semua pemain yang bermain dengan agak baik pada separuh masa kedua. Jadi, kita kena bekerja keras bagi mencipta peluang-peluang menjaringkan gol pada perlawanan akan datang,” katanya.


































