Mikel Arteta
LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya pasukannya masih berpeluang ke final Piala Liga dengan syarat pemainnya perlu menguasai bola ‘bermasalah’ yang digunakan dalam pertandingan itu.
The Gunners kalah 2-0 kepada Newcastle dalam perlawanan separuh akhir pertama semalam hasil jaringan Alexander Isak dan Anthony Gordon.
Menurut Utusan Malaysia, Arsenal melakukan 23 percubaan sepanjang perlawanan tetapi hanya tiga yang tepat, apabila rembatan Gabriel Martinelli terkena tiang gol dan Kai Havertz melepaskan peluang mudah dengan tandukan yang jauh.
Ketika ditanya tentang peluang yang terlepas dalam sidang media selepas perlawanan, Arteta berkata, dia tidak akan memberitahu pemainnya untuk mengubah apa-apa, tetapi menyebut tentang kesan bola yang digunakan.
“Kami banyak melepaskan bola di atas palang, dan bola ini agak sukar kerana ia bergerak dengan pantas jadi ada beberapa perkara yang boleh kami lakukan dengan lebih baik.
“Tetapi pada akhirnya itu sudah berlalu, tiada jalan untuk kembali, apa yang penting adalah perlawanan seterusnya dan itu adalah dunia kami, realiti dunia kami.
“Ini baru separuh masa. Apabila saya melihat pasukan bermain dan bagaimana kami mengendalikan banyak situasi dan bermain menentang pasukan yang sangat baik, saya mesti katakan saya mempunyai keyakinan penuh bahawa kami boleh keluar dan melakukannya,” katanya.
Sebelum tewas kepada Newcastle, The Gunners telah menjaringkan 11 gol dalam tiga perlawanan Piala Liga setakat musim ini.
Bola dalam pertandingan ini dibuat oleh Puma, sementara bola yang digunakan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dikeluarkan oleh Nike.
“Ia memang berbeza,” kata Arteta ketika ditanya lebih lanjut mengenai bola tersebut.
“Ia sangat berbeza dengan bola EPL dan anda perlu menyesuaikan diri dengan itu kerana ia bergerak dengan cara yang berbeza. Apabila anda menyentuhnya, cengkamannya juga sangat berbeza, jadi anda perlu menyesuaikan diri,” katanya.


































