Leong Jun Hao gagal meneruskan saingan apabila tewas 17-21, 21-16, 13-21 kepada pemain China, Lu Guang Zu pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.
KUALA LUMPUR: Kemarau mencari jaguh perseorangan lelaki yang mampu menjulang gelaran juara berlanjutan apabila satu-satunya wakil negara, Leong Jun Hao tumbang seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.
Melakukan penampilan sulung pada kejohanan Super 1,000 itu, Jun Hao gagal menggalas tugas berat tersebut apabila tumpas 17-21, 21-16, 13-21 kepada pemain No. 14 dunia, Lu Guang Zu dari China walaupun menampakkan ada harapan untuk bangkit apabila menang dalam set kedua.
Menurut Utusan Malaysia, kali terakhir Malaysia menjulang gelaran dalam perseorangan lelaki ialah menerusi bekas bintang No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018.
Misi kategori perseorangan menjadi semakin rumit dengan ketiadaan Lee Zii Jia yang masih dihambat kecederaan.
Jun Hao yang berada di ranking No. 29 dunia mengakui dia kecewa dan berdepan pemain hebat seperti Guang Zu tidak mudah.
“Saya berusaha untuk kejar mata tetapi sejak awal set (ketiga) lagi saya telah ketinggalan, inilah yang membezakan pengalaman yang dimiliki Guang Zu kerana dia tahu bagaimana untuk mengendalikan situasi ketika berada di mata penting,” katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata, walaupun kalah dia berjanji untuk terus memperbaiki permainannya pada pertandingan akan datang.
“Saya sudah keluarkan apa yang saya ada pada perlawanan hari ini (semalam), mungkin hari ini saya kalah, tetapi saya akan terus belajar untuk dibawa ke depan,” katanya.


































