Suhardi Alias
PETALING JAYA: Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias berkata, pihaknya masih belum dapat membuat keputusan mengenai status Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Suhardi berkata, pihaknya tidak boleh memberikan kesimpulan terhadap status AGM badan induk tersebut memandangkan siasatan daripada pihak berkuasa sedang berjalan.
“Memandangkan ada dua laporan terhadap telah dibuat kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai AGM MPM, maka kami perlu menunggu pihak berkuasa selesai melakukan siasatan.
“Selepas mendapat keputusan daripada hasil siasatan daripada PDRM dan SPRM, maka kita boleh lihat tindakan yang perlu diambil selanjutnya.
“Apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan perkara tersebut kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, kemenangan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam AGM bulan lalu dipertikai selepas terdapat beberapa persatuan mendakwa terdapat pelanggaran perlembagaan ketika pemilihan itu,15 Disember lalu.
Bagaimanapun, Megat berkata, semua proses bagi mengadakan AGM dan pemilihan dilakukan mengikut perlembagaan MPM dan dipersetujui sebulat suara oleh ahli gabungan.
Mengulas lanjut, Suhardi berkata, pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada MPM berhubung AGM yang diadakan oleh badan induk itu.
“Selepas habis AGM persatuan perlu menghantar laporan kepada PJS dan saya dimaklumkan MPM dalam proses menyediakan laporan tersebut,” katanya.


































