Leong Jun Hao wakil tunggal pemain perseorangan yang akan memikul cabaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Selasa ini.
PETALING JAYA: Penarikan diri jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meninggalkan Leong Jun Hao sebagai wakil tunggal yang akan memikul cabaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Selasa ini.
Menurut Utusan Malaysia, tanpa Zii Jia yang masih dihimpit kecederaan, tugas berat kini terpaksa digalas Jun Hao sendirian yang mendapat undian sukar seawal pusingan pertama lagi apabila perlu berdepan wakil China, Lu Guang Zu yang menghuni ranking ke-16 dunia.
Jun Hao yang berada di tangga ke-29 dunia belum pernah bertemu Guang Zu dan pada penampilan sulungnya di Terbuka Malaysia undian jelas tidak memihak anak jati Kuala Lumpur itu.
Jika Jun Hao melepasi halangan Guang Zu, dia berkemungkinan besar akan menentang bintang No. 1 dunia, Shi Yu Qi juga dari China.
Seperti mana Guang Zu, Jun Hao juga belum pernah bertemu Yu Qi dan juara Jelajah Dunia Akhir itu dijangka tidak berdepan masalah mengetepikan pemain No. 15 dunia, Kenta Nishimoto dari Jepun di pusingan awal.
Walaupun berdepan undian sukar, mengenali Jun Hao, dia bukanlah pemain yang akan memberi laluan mudah kepada mana-mana pemain yang menjadi pencabarnya.
Malah, bekas pemain No. 1 dunia, Roslin Hashim turut mencabar Jun Hao agar membuktikan dirinya lebih baik berbanding perseorangan No. 1 Malaysia itu.
“Ini peluang Jun Hao untuk membuktikan dia mampu beraksi lebih baik berbanding Zii Jia di Terbuka Malaysia. Dia wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan lelaki selepas Zii Jia tarik diri, jadi fokus memang bertumpu kepada dia,” katanya.


































