Pemain tengah Arsenal, Gabriel Martenelli (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan, Riccardo Calafiori dalam aksi menentang Brentford di London.
LONDON: Arsenal semakin mengurangkan jurang dengan Liverpool selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris hari ini dengan Gabriel Jesus terus mempamerkan rentak cemerlang dalam permainan.
Pun begitu, The Gunners pada awalnya dikejutkan dengan jaringan tuan rumah menerusi Bryan Mbeumo, sebelum Jesus tampil dengan gol penyamaan dalam aksi cuaca sejuk berangin sebelum permainan berhenti rehat pada babak pertama.
Menurut Utusan Malaysia, jaringan Jesus itu merupakan yang keenam dalam empat penampilannya bersama pasukan, dua lagi gol Arsenal datang daripada Mikel Merino dan Gabriel Martinelli sebaik permainan kembali bersambung pada babak kedua.
Kemenangan itu membolehkan Arsenal memintas kedudukan Nottingham Forest di tangga kedua liga.
“Kami menang dalam permainan yang sukar dan menentang pasukan yang bagus. Rekod mereka (Brentford) di sini baik dan apabila anda ketinggalan 0-1 menjadikan permainan bertambah sukar,” kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.
































