Ruben Amorim
MANCHESTER: Adalah sesuatu yang tidak mustahil Manchester United akan terjerumus ke zon penyingkiran jika terus mempamerkan prestasi hambar di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurut Utusan Malaysia, Pengurusnya, Ruben Amorim berkata, sesuatu yang memalukan jika United bercakap tentang risiko penyingkiran, namun itu hakikat yang terpaksa diterima ketika ini.
Tumpas 2-0 kepada Newcastle di Old Trafford semalam menceritakan segala-galanya tentang kelemahan United musim ini biarpun Amorm tiba untuk mengemudi The Red Devils.
Dalam aksi itu, Alexander Isak dan Joelinton meletakkan Newcastle di depan menerusi tandukan pada babak pertama untuk skuad kendalian Eddie Howe membawa pulang tiga mata.
Skuad kendalian Amorim memasuki Tahun Baru di tangga ke-14 liga, lebih hampir kepada zon penyingkiran berbanding kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.
“Saya rasa (penyingkiran) adalah satu kemungkinan dan kami perlu jelas dengan penyokong-penyokong kami.
“Kami perlu mengubah sesuatu tetapi musim ini sangat sukar untuk semua orang. Ia mampu menjadikan kami lebih kuat dan kami perlu berjuang.
“Ia juga salah saya buat masa ini, kerana saya rasa pasukan tidak menunjukkan peningkatan, hilang arah ketika ini.
“Ia sedikit memalukan untuk menjadi seorang jurulatih United dan tewas banyak perlawanan. Tetapi kami perlu menanganinya, jadi ia tempoh yang sukar,” katanya.
Amorim memulakan karier di United dengan lima kekalahan dalam lapan aksi pertama liganya dan ia rekod terburuk untuk pengendali United dalam tempoh 103 tahun.
Taktikal 3-4-3 Amorim kini mula dipersoalkan dan masalah di bahagian benteng yang menghantui Erik ten Hag kini kembali menyelubungi Amorim, dengan kedua-dua jaringan Newcastle berpunca daripada kesilapan pertahanannya.
Paling ketara ialah ketika Amorim mengeluarkan Joshua Zirkzee pada minit ke-33 yang disambut cemuhan penyokong tuan rumah di Old Trafford.


































