Nazifuddin Najib
PETALING JAYA: Tuan rumah Sukan SEA 2025, Thailand membuat keputusan untuk melakukan perubahan dan pertambahan hampir 15 acara terhadap temasya dwitahunan itu.
Menurut Utusan Malaysia, perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib selepas menghadiri mesyuarat bersama tuan rumah di atas talian pada minggu lalu dengan memberitahu jumlah penganjuran sukan tetap sama iaitu 56 jenis.
“Antara penambahan yang berlaku adalah sukan olahraga iaitu acara jalan kaki lelaki dan wanita, 20,000 kilometer (km) dan larian berhalangan 3,000 km lelaki dan wanita. Acara pelayaran untuk campuran keelboat SS47.
“Jumlah keseluruhan setakat ini adalah 585 acara. Mereka cakap ini final (keputusan akhir), jadi kita anggap ini final,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pembukaan Malaysia Kidslympics di Stadium Merdeka semalam.
Sukan lain yang terlibat dalam perubahan itu adalah lumba perahu tradisional apabila acara campuran bot kecil bagi 200 meter (m) serta 500m ditukar kategori lelaki.
Bagi sukan berbasikal, acara mountain-bike wanita ditukar kepada acara lebuhraya kategori wanita manakala gimnastik, acara berpasukan wanita menggantikan berpasukan wanita sepusingan final.
Dalam pada itu, judo juga membuat pertukaran melibatkan kategori wanita daripada 57 kilogram (kg)-70kg kepada 63kg-70kg dan pencak silat, lelaki kelas B (50-55kg) kepada lelaki kelas D (60kg- 65kg).
E-sukan pula acara campuran untuk permainan pertempuran dan berpasukan AOV ditukar kepada acara sukan bagi lelaki dan wanita manakala sukan Woodball menyaksikan perseorangan lelaki dan wanita Fairway ditukar kepada berpasukan lelaki dan wanita.


































