PETALING JAYA: Jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi rebutan selepas empat individu berminat untuk menduduki kerusi nombor dua di Wisma FAM itu.
Menurut Utusan Malaysia, sumber rapat badan induk tersebut memberitahu, antara nama yang bakal merebut jawatan tersebut adalah dua penyandangannya iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram.
“Dua lagi calon yang akan merebut jawatan tersebut adalah Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
“Setakat ini, empat calon ini berminat untuk bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden namun senarai ini boleh berubah bergantung kepada borang pencalonan yang dihantar.
“Kena tunggu pada hari terakhir borang pencalonan dihantar untuk mengetahui senarai calon yang akan bertanding. Hari terakhir untuk menghantar borang pencalonan pada 15 Januari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut sumber itu lagi, seramai lapan individu berminat untuk merebut jawatan Naib Presiden FAM dengan sebahagian daripada penyandangnya mahu mempertahankan kerusi masing-masing.
“Ada ramai calon yang mahu merebut jawatan tersebut dan antaranya adalah Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman dan Presiden Naib Presiden FAS, Datuk P. Sugumaran.
“Bagi jawatan Exco pula saya dimaklumkan ramai yang ingin mempertahankan jawatan masing-masing namun mereka tetap akan dicabar oleh calon lain. Apa pun perlu tunggu tarikh akhir penamaan calon,” katanya.
Pemilihan FAM dijangka sengit dan badan induk itu bakal diterajui kepimpinan baharu selepas Tan Sri Hamidin Mohd. Amin mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai presiden pada 15 Februari ini.
Sebagai rekod, untuk jawatan presiden, calon yang mahu merebut kerusi panas itu perlu mendapatkan enam sokongan bagi melayakkan dirinya untuk bertanding jawatan itu.
Bagi Timbalan Presiden FAM pula, seseorang itu memerlukan lima pencalonan diikuti empat untuk jawatan Naib Presiden dan Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) dua pencalonan.

































