Pasukan hoki remaja wanita kebangsaan harus memenangi perlawanan penentuan tempat kelima dan enam menentang Thailand, esok bagi memastikan tempat ke Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Chile. – Ihsan AHF
PETALING JAYA: Pasukan hoki remaja wanita negara hanya tinggal selangkah lagi untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki Remaja di Chile, tahun depan.
Menurut Utusan Malaysia, anak buah Lailin Abu Hassan mencatat kemenangan besar 11-0 ke atas Hong Kong dalam aksi klasifikasi tempat kelima hingga lapan pada Piala Remaja Asia di Muscat, Oman, malam tadi.
Malaysia akan berdepan Thailand hari ini dalam perlawanan penentuan tempat kelima untuk merebut tiket ke Piala Dunia berkenaan selepas Thailand menewaskan Taiwan 2-1.
Gol Young Tigress dijaringkan oleh Azmyra Mia Sofea Azhairy (minit ke-4, 16, 28), Anith Humaira Baharudin (20, 45, 49), Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam (30, 39), Nurshamine Azureen Badusha (5), Nurdini Batrisyia Ridzuan (17), dan Siti Nur Irdina Nor (54).
Anith diiktiraf sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, manakala Azmyra menerima anugerah Bintang Baharu atas persembahan cemerlang mereka.
Namun, Lailin mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah cabaran Thailand walaupun pernah menewaskan pasukan itu 3-0 di peringkat kumpulan.
“Ini perlawanan hidup mati bagi kedua-dua pasukan, dan Thailand pasti akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan tiket Piala Dunia.
“Kami akan bermain secara berhati-hati dan fokus untuk memastikan kemenangan,” kata Lailin.


































