Dr. Rafiq dan Safri bergambar bersama lebih 120 pelajar dan kakitangan SMK Petagas.
KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) telah menerima lawatan rasmi daripada rombongan pegawai dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas baru-baru ini.
Lawatan tersebut diketuai oleh Pengetua SMK Petagas, Safri Jeffri bersama beberapa guru dan pegawai pengiring.
Seramai lebih 120 pelajar turut serta dalam lawatan ini, yang disambut mesra oleh Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris.
Sesi lawatan setengah hari tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada kedua-dua pihak, diikuti oleh taklimat mengenai peluang pendidikan di UCSF yang disampaikan oleh pegawai pemasaran universiti.
Rombongan juga dibawa melawat beberapa fasiliti di kampus UCSF, termasuk Science, Technology and Innovation Centre, NIAG Gallery dan IJAU Cafe.
Safri berkata, beliau tertarik dengan pelbagai kursus yang ditawarkan di UCSF serta prospek cerah yang dapat membantu anak didik Petagasian dalam mencorak masa depan mereka.
“Kunjungan ini membuka ruang dan peluang bagi warga Petagasian untuk meneroka potensi mereka. Sesuai dengan slogan UCSF Di Hatiku, saya harap ia akan terpahat di hati pelajar. Ucapan Dr. Rafiq yang menyeru pelajar agar melanjutkan pelajaran selepas tamat SPM sangat memberi inspirasi, membuka peluang untuk anak-anak Petagasian bersinar seperti ungkapan A Star at Southern Gate,” katanya.
Sementara itu, Dr. Rafiq menekankan pentingnya kerjasama antara UCSF dan SMK Petagas dalam mendorong minat pelajar terhadap bidang STEM, kelestarian hijau, dan inisiatif pendidikan lain.


































