Pihak Bomba sedang mengeluarkan mangsa kemalangan.
KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 46 tahun maut manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun selamat dalam nahas melibatkan dua kereta di sini awal pagi ini.
Dua lelaki turut mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia (JPBM) Sabah, kemalangan melibatkan kenderaan jenis Toyota Camry dan Perodua Myvi itu berlaku di Jalan Lintas Kepayan.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan menerima panggilan kecemasan pada pukul 5:21 pagi melalui talian MERS999.
Sepasukan lapan anggota diketuai oleh PBK II KUP, Kasran Denah dari BBP Putatan tiba di lokasi kejadian pada pukul 5:30 pagi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba segera menjalankan operasi menyelamat. Mangsa perempuan berusia 9 tahun itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba dan berada dalam keadaan selamat. Namun, mangsa perempuan berusia 46 tahun dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua mangsa lelaki yang mengalami kecederaan ringan telah diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans.
Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum menyerahkan tugas siasatan kepada pihak PDRM.
Operasi dilaporkan terkawal pada pukul 6.03 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 7.05 pagi.
Operasi ini turut dibantu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


































