Antara aksi pasukan hoki remaja wanita kebangsaan menentang India pada perlawanan kedua kumpulan A Piala Remaja Asia Wanita 2024 di Stadium Hoki Oman, Muscat, malam tadi. – Ihsan AHF
PETALING JAYA: Pasukan hoki remaja wanita kebangsaan menjadi mangsa amukan juara bertahan, India setelah dibelasah 5-0 pada aksi kedua kumpulan A Piala Remaja Asia Wanita 2024, di Muscat, Oman, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Oman itu, Young Tigress bermula baik pada babak pertama apabila kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan.
Separuh masa kedua menyaksikan India mengubah percaturan permainan mereka apabila menyempurnakan pukulan penalti sudut menerusi Vaishnavi Vitthal Phalke pada minit ke-32.
Selang lima minit kemudian, Young Tigress menerima serangan bertubi-tubi apabila pasukan No. 8 dunia itu meledak tiga jaringan berturut-turut menerusi Siwach Kanika dan dua gol dari Deepika.
Deepika berjaya meledak hatriknya menerusi penalti pukulan sudut pada minit ke-48 dan keputusan kekal 5-0 sehingga wisel penamat.
Terdahulu, Malaysia membuka kempen Piala Remaja Asia Wanita 2024 dengan bergaya apabila membenam Thailand 3-0 pada Sabtu.
Pasukan bimbingan Lailin Abu Hassan seterusnya dijadualkan akan menentang Bangladesh pada aksi ketiga kumpulan A, Rabu ini pada pukul 8.45 malam.


































