PENAMPANG: Lebih 100 atlet bina badan
telah menyertai pertandingan Bina Badan dan Fizik Mr Borneo 2024 anjuran Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sabah.
Ini termasuk daripada Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam dan Wilayah Kalimantan, Indonesia.
Berucap pada Majlis Makan Malam Mr Borneo 2024 di Dewan Kebudayaan Penampang semalam, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib menyatakan sokongan penuh terhadap perkembangan sukan bina badan di Sabah.
Beliau memuji penganjuran pertandingan itu yang berjaya menarik ramai peserta itu,
Walaupun sukan ini berada di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan, James menegaskan komitmennya sebagai anggota Kabinet Negeri Sabah untuk menyokong usaha memajukan sukan bina badan di negeri ini.
Menurut beliau, pembangunan sukan ini memerlukan pendekatan sistematik, bermula dari usia muda, untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.
“Bina badan bukan sahaja memerlukan pengorbanan dan disiplin tinggi, tetapi juga pengetahuan saintifik dalam aspek pemakanan serta latihan. Oleh itu, fasiliti lengkap dan tajaan amat penting untuk memastikan atlet menerima sokongan yang mencukupi,” tambah beliau.
Mengakui peranan proaktif SBBA meskipun berhadapan pelbagai cabaran, beliau menyeru SBBA untuk terus menjalinkan hubungan erat dan kolaborasi dengan pihak berkaitan termasuk kementerian sukan demi meningkatkan lagi pembangunan sukan bina badan.
“Kerajaan Negeri melalui kementerian berkaitan akan sentiasa menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh persatuan sukan seperti SBBA. Saya yakin atlet bina badan Sabah mampu mencipta kejayaan lebih besar, termasuk di pentas antarabangsa,” katanya lagi.
Beliau turut berterima kasih kepada SBBA kerana memilih Penampang sebagai lokasi penganjuran Mr Borneo tahun ini, yang dilihat mampu mempromosikan pelancongan di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
“Acara seperti ini bukan sahaja memeriahkan suasana, tetapi turut merangsang ekonomi tempatan seperti sektor perhotelan dan industri kecil sederhana,” ujar beliau.
Dengan sokongan berterusan, James optimis bahawa sukan bina badan di Sabah akan terus berkembang maju dan mengharumkan nama negeri di persada dunia.
































