Norazian Dumit
KOTA KINABALU: Wanita Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) mengecam tindakan Wanita UMNO Sabah dan Puteri UMNO Sabah yang mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meletakkan jawatan.
Ketua Wanita Harapan Rakyat, Norazian Dumit berkata, desakan tersebut dilihat tidak adil dan bersifat prejudis, apatah lagi isu yang diketengahkan belum terbukti kebenarannya melalui siasatan atau keputusan mahkamah.
“Mungkin Wanita UMNO Sabah dan Puteri UMNO Sabah terlupa, semasa mereka berkuasa dahulu, UMNO juga berhadapan isu serupa apabila beberapa pemimpin mereka terpalit dengan tuduhan rasuah. Malah, ada desakan untuk peletakan jawatan, namun demi kestabilan politik dan keyakinan terhadap pemimpin, mereka memilih untuk mempertahankan kepimpinan UMNO,” ujar Norazian.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran mendesak Ketua Menteri meletak jawatan hanya berasaskan suntingan video yang jelas terlihat dirancang dan belum melalui siasatan terperinci.
“Kami tidak menyokong salah laku rasuah, malah kami menolaknya. Namun, biarlah keadilan ditegakkan melalui proses siasatan yang telus, bukan sekadar mempercayai dan menghukum berdasarkan video yang disebarkan,” tegasnya.
Norazian juga menempelak cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pengurusan sumber asli Sabah, dengan menyatakan ia membuka ruang kepada campur tangan luar yang bertentangan dengan prinsip ‘Sabah untuk Sabahan’.
“Rakyat Sabah telah bersuara melalui beberapa pilihan raya sebelum ini untuk melihat negeri ini berdikari seperti Sarawak. Desakan Wanita UMNO Sabah dan Puteri UMNO Sabah hanya akan menggugat kestabilan politik dan usaha ke arah Sabah yang lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau menyeru semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakyat Sabah agar bersatu mempertahankan kestabilan politik negeri daripada anasir luar yang ingin memanfaatkan situasi ini untuk kepentingan mereka sendiri.
“Sabah adalah rumah kita, dan kita yang harus menjaganya. Jangan biarkan sesiapa pun memporak-perandakan negeri ini,” kata Norazian.


































