Lando Norris dikenakan penalti stop-go selama 10 saat berikutan mengabaikan bendera kuning apabila cermin sayap milik Alex Albon dari William jatuh dalam perlumbaan Grand Prix Qatar di Lusail, minggu lalu.
DOHA: Pasukan McLaren menggesa Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menjalankan siasatan terhadap penalti yang dikenakan terhadap Lando Norris di Grand Prix (GP) Qatar, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, pemandu Britain itu dihukum penalti stop-go selama 10 saat berikutan mengabaikan bendera kuning apabila cermin sayap milik Alex Albon dari William jatuh sekali gus menjatuhkan Norris daripada tempat kedua kepada kedudukan 10.
Ia menyebabkan McLaren kehilangan mata berharga dalam usaha mereka untuk merangkul kejuaraan kategori pengeluar untuk kali pertama sejak 1998.
Bos McLaren, Andrea Stella menegaskan bahawa penalti yang dikenakan itu tidak jelas tidak seimbang serta berpotensi mendatangkan kesan buruk kepada pasukan.
“Saya di sini mengakui dan sudah menyemak data bahawa Norris tidak perlahan (ketika bendera kuning). Namun, kekurangan sebarang kekhususan dan perkadaran adalah sangat membimbangkan dan merupakan faktor yang mampu memberi impak yang menentu kepada usaha kejuaraan.
“Sudah tentu perkara penting yang perlu dipertimbangkan oleh FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dengan serius sekiranya kita mahukan keadilan menjadi sebahagian daripada persaingan perlumbaan yang sedang berlangsung. Ia sangat penting,” kata Stella.
Bagaimanapun, Stella mengesahkan McLaren sedang melakukan semakan dan mencari bukti ke atas hukuman Norris daripada badan induk Formula Satu (F1).
“Kami menjangkakan bahawa kes mengenakan penalti yang berat ini dikaji semula oleh FIA. Bagi selebihnya kami tidak mahu mengulas. Kami percaya FIA dari keputusan dan peranan mereka,” ujarnya.


































