PETALING JAYA: Lebih 50 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM308 juta berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, rampasan itu membabitkan pelbagai jenis dadah dan racun antaranya methamphetamine, MDMA, erimin, pil ekstasi, ketamin, syabu, heroin, kokain, ganja dan ketum yang boleh digunakan oleh 36 juta individu atau melebih jumlah penduduk negara ini.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kejayaan itu dicatatkan sejak beliau menerajui jabatan itu pada Mac hingga Oktober lalu.
Dalam tempoh sama, katanya, seramai 180,405 individu turut ditahan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Ini membabitkan penagih, pengedar, transporter dan mereka yang terlibat dengan sindiket dadah.
“Antaranya Op Havanese apabila JSJN Bukit Aman berjaya melumpuhkan sindiket memproses dadah jenis ekstasi di Lembah Klang dengan tangkapan dua lelaki tempatan membabitkan rampasan dadah jenis MDMA sebanyak 213 kg bernilai RM33.65 juta.
“Dalam tempoh itu, sebanyak 50,625 kg dadah dan racun dianggarkan bernilai RM308 juta dirampas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh menampung permintaan seramai 36 juta orang pengguna dan penagih dadah.
Ujar beliau, bagi melumpuhkan aset-aset sindiket dadah, pihaknya telah menyita pelbagai jenis harta seperti kenderaan, wang tunai dan barang kemas milik sindiket dianggarkan bernilai RM71.3 juta.
“Manakala sebanyak RM6.9 juta harta telah dilucut hak. Kejayaan ini menunjukkan ketegasan JSJN bagi membanteras dan melumpuhkan kegiatan penyalahgunaan najis dadah di negara ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan melawan dadah memerlukan usaha tanpa henti dan kerjasama erat daripada semua pihak demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
“Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju untuk meluluskan 1,000 perjawatan tambahan bagi JSJN.
“Justeru, pelbagai kajian dan perancangan telah dilakukan di seluruh kontinjen bagi penambahan perjawatan baharu kelak demi memastikan jabatan ini ditambah baik dalam segala aspek bagi memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah habis-habisan.
Pada 11 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan PDRM memerlukan 15,707 kekuatan pegawai dan anggota JSJN dalam usaha memastikan aktiviti penyeludupan dan penyalahguanaan dadah di Malaysia dapat dibanteras sepenuhnya.
Kok Chin dilapor berkata, kapasiti yang besar diperlukan berdasarkan jumlah evolusi dadah saban tahun yang dilihat semakin berkembang.
Katanya, dalam tempoh 20 tahun, jumlah kekuatan berkenaan diperlukan merangkumi pelbagai aspek penugasan di lapangan, teknikal, taktikal, penyelidikan dan pembangunan serta untuk menempatkan pegawai perhubungan narkotik di luar negara.


































