PETALING JAYA: Suhu pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) makin panas apabila difahamkan seorang wakil daripada ahli gabungan badan induk itu bersedia merebut jawatan presiden badan induk itu.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, individu terbabit yang berpangkalan di Lembah Klang bersedia mencabar Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub yang dicadangkan sebagai calon untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang dipercayai tidak akan mempertahankan jawatannya pada Kongres FAM.
“Jika benar beliau (Joehari) adalah calon untuk ganti Hamidin, sepatutnya ia tidak berlaku kerana lebih elok biarlah pilihan itu dibuat sendiri oleh ahli gabungan ketika kongres nanti.
“Sepatutnya bertanding secara sihat dengan memberi peluang kepada sesiapa saja untuk bertanding khususnya jawatan Presiden. Kalau begitu, kita akan cabar jawatan itu dan beri kepada ahli gabungan untuk memilih secara sihat,” katanya.
Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya lapan ahli gabungan FAM yang berpangkalan di Lembah Klang dengan dua daripada membabitkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Enam lagi adalah Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia, Persatuan Bolasepak Cina Malaysia, Majlis Sukan India Malaysia, Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia.
Terdahulu, sumber dalaman memberitahu Utusan Malaysia, Hamidin dipercayai tidak akan mempertahankan jawatannya dengan nama Joehari dicadangkan menjadi calon untuk jawatan berkenaan dalam pemilihan akan datang pada satu pertemuan tertutup dihadiri 15 wakil ahli gabungan badan induk itu, baru-baru ini.
Barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk penggal 2021-2025 bakal berakhir selewat-lewatnya awal tahun depan dengan satu pemilihan perlu diadakan untuk mencari barisan barisan Exco baharu.


































