Alwi Zainal Abidin
GEORGE TOWN : Polis berjaya menahan 11 individu kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan yang menjalankan aktiviti jenayah yang berleluasa di Pulau Pinang, Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada lelaki dewasa itu ditahan dalam satu operasi khas yang dikenali sebagai Op Cantas Mutiara kira-kira pukul 3.30 pagi.
Katanya, selain Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, operasi yang dijalankan di sekitar negeri ini itu turut dibantu oleh Bahagian Jenayah Terancang (B14) dan Bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman.
“Berdasarkan maklumat, kumpulan ini telah bergiat aktif sejak tahun 2020 dan kes disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang,” katanya di sini, kelmarin.
Menurut Mohd. Alwi, kesemua suspek kini direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA) bermula kelmarin sehingga 28 Disember depan.


































