Dr. Joachim (tujuh dari kanan), Isnin (tiga belas dari kiri) dan Limus (enam dari kanan) bergambar bersama dengan semua yang turut serta dalam program itu di Taman Poket Laman Monsoi yang mana reka bentuk taman ini telah disediakan oleh Sektor Landskap dan Kelestarian, KKTP dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Penyu.
KUALA PENYU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam hari ini melancarkan Inisiatif Kampung Lestari 2025 peringkat daerah Kuala Penyu, iaitu program penanda aras kepada usaha transformasi di peringkat kampung dan daerah.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, program ini bakal menerima penyertaan sebanyak 52 buah kampung dari pelusuk daerah Kuala Penyu dan Menumbok.
Katanya, melalui program ini, setiap kampung akan diberikan penilaian berdasarkan indikator-indikator yang telah ditetapkan mengikut sistem penarafan kampung Lestari Kuala Penyu.

Dr. Joachim (enam dari kanan), Isnin (tujuh dari kiri) dan Limus (lima dari kanan) bergambar bersama selepas perasmian penutupan Program IKLKP 2024.
“Sistem Penarafan Kampung Lestari adalah merupakan sebahagian adaptasi daripada Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Persekutuan ketika ini.
“Penarafan kelestarian akan diberikan kepada semua kampung yang berinisiatif menyertai program ini. Mana-mana kampung yang belum mencapai paras kelestarian munasabah akan diberikan bimbingan secara berkala oleh penyelaras program melalui Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) dan digalakkan mendapat khidmat perkongsian maklumat daripada mana-mana kampung yang telah mencapai tahap kelestarian memuaskan iaitu penilaian 4 bintang ke atas.
“Melalui program Kampung Lestari ini, jawatankuasa pentadbiran dan penduduk kampung akan sentiasa berinisiatif untuk berusaha meningkatkan tahap kelestarian kampung mereka pada setiap tahun. Usaha ini akan diberikan pengiktirafan di peringkat daerah oleh pihak penyelaras iaitu PBT,” katanya pada pelancaran tersebut yang diadakan sempena majlis perasmian penutupan Program Inisiatif Komuniti Lestari (IKL) Kuala Penyu yang diadakan di sini.

Dr. Joachim (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta gerai pameran yang turut serta dalam program itu.
Dr. Joachim berkata, KKTP amat menghargai dan menyokong usaha-usaha MDKP mengetengahkan inisiatif-inisiatif yang sangat bermanfaat menerusi program Inisiatif Komuniti Lestari ini.
Katanya, pada hakikatnya, Kerajaan Negeri melalui KKTP juga mempunyai beberapa inisiatif utama yang telah dilaksanakan untuk mensejahterakan rakyat dan komitmen kepada pembangunan inklusif yang mampan.
Antaranya, Agenda Menoktahkan Kadar Kemiskinan Tegar Rakyat; Pembangunan Projek Perumahan Mampu Milik untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah mendapat kemudahan yang selesa dan berkualiti; dan menyedia dan melaksanakan program pembangunan pengurusan sisa pepejal dan alam sekitar seperti Pembangunan Tapak Pelupusan Sampah PBT, Program Jelajah I-Hijau, Rakan Lestari, Kempen Penanaman Pokok, Program Sabah Landscape Architecture Day (SLAD) dan Sabah Landscape Architecture Awards (SLAA) yang melabuhkan tirainya awal bulan ini.

Dr. Joachim menandatangani plak sambil disaksikan akan oleh Limus (dua dari kiri) dan Faridah (kiri).
“Ini memperlihatkan bahawa Kerajaan sentiasa mendengar dan memahami keperluan rakyat. Semoga program seperti hari iniakan terus menjadi pemangkin kepada perubahan positif yang berterusan selaras dengan tema “Komuniti Sejahtera, Daerah Lestari”,” ujarnya.
Program IKL diperkenalkan sejak tahun 2022 sebagai I-Komuniti melalui penganjuran Karnival CNY dan Sambutan Ambang Merdeka.
Pada tahun ini, program ini telah dijenamakan sebagai IKL Kuala Penyu dan menggunakan tema “Komuniti Sejahtera, Daerah Lestari”.
Dr. Joachim berkata, tema program “Komuniti Sejahtera, Daerah Lestari” ini adalah amat sesuai sekali dan diterjemahkan melalui komitmen semua ahli komuniti untuk menyedari kepentingan membudayakan konsep kelestarian dan menambahbaik aliran tadbir urus di semua peringkat pentadbiran khususnya di daerah Kuala penyu.
Program yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 22 November 2024 telah terbukti mencapai sasaran kerana berjaya dianjurkan dengan memperkenalkan amalan “Hari Tanpa Plastik” sebagai kempen awal untuk mengawal isu-isu pengurusan sisa pepejal dan membentuk masyarakat yang peka dan membudayakan kepentingan amalan menjaga kelestarian alam sekitar.

Dr. Joachim (duduk, tengah) diapit oleh Isnin (duduk, tiga dari kanan) Limus (duduk, tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama semua yang hadir dalam majlis itu.
Sebanyak 12 inisiatif telah dimasukkan dalam Program IKL tahun 2024 sebagai usaha murni bagi mendekati dan menarik penyertaan masyarakat untuk bersama-sama berkongsi pengalaman, ilmu dan meningkatkan elemen pemudah cara dalam penerimaan atau penyampaian sebarang perkhidmatan oleh pihak berkuasa atau Kerajaan. Kaedah ini sekurang-kurangnya dapat membentuk kesefahaman ahli-ahli komuniti dalam menghasilkan keharmonian yang kukuh dan bertoleransi. Inisiatif yang dilaksanakan melalui penyertaan komuniti adalah Kempen Tandas BMW; Komuniti Prihatin; Bicara Komuniti; Kembara ‘Plogging’; Mural Komuniti; Inovasi Komuniti; Komuniti Rendah Karbon; Bunga Komuniti; Taman Komuniti; Kampung Lestari; Seminar Komuniti Lestari; dan Perasmian Penutupan IKL Kuala Penyu 2024.
Turut hadir Pembantu Menteri I KKTP, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri I, Kementerian Kerja Raya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; Timbalan Setiausaha Tetap II KKTP, Faridah Giau; Pegawai Daerah Kuala Penyu, Nelson Domit Oluk, Ketua Penolong Setiausaha Landskap, Sektor Landskap dan Kelestarian KKTP, Landscape Architect, Nurulhayati Awang More dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu, John Genchit.
































