KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa Perdana Park Tanjung Aru telah diberi kebenaran untuk beroperasi semula seperti biasa.
Dalam kenyataan hari ini, DBKK memberitahu kebenaran pengoperasian semula ini telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan Perdana Park Tanjung Aru sejak awal bulan November lalu, untuk tindakan pihak pengurusan Perdana Park yang selanjutnya.
Walau bagaimanapun, pembukaan semula taman ini adalah tertakluk kepada kesediaan pihak pengurusan taman.
Sebarang pertanyaan berhubung operasi taman ini hendaklah dikemukakan kepada pihak pengurusan Perdana Park Tanjung Aru.
Pada 11 September 2024, DBKK telah mengeluarkan notis penutupan kepada pengurusan Perdana Park Tanjung Aru untuk menutup sementara pengoperasian susulan insiden serangan memerang terhadap pengunjung awam.


































