Shahelmey menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024 dan Program Jerayawara Santuni Komuniti Madani PEKA@LPPKN kawasan Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan hari ini. Hadir sama isteri Ketua Menteri yang juga Yang di-Pertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Hajah Juliah Salag.
PUTATAN: Kerajaan berusaha menanam semangat kekeluargaan melalui konsep
Kasih MADANI dan perlaksanaan “November Bulan Keluarga Kebangsaan” untuk melahirkan masyarakat yang stabil, harmoni dan sejahtera.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, bagi menyemarakkan
sambutan ini, Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 3 November 2023 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memperluaskan sambutan itu diperingkat semua kementerian dan Kerajaan Negeri, mulai tahun ini.
Justeru katanya, semua kementerian termasuk semua pihak di negeri ini diharapkan untuk turut sama menjayakan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan.
“Pelaksanaan aktiviti hari keluarga di setiap kementerian dan agensi kerjaan juga perlu dijadikan acara tahunan wajib pada setiap bulan November. Bagi sektor swasta, NGO dan komuniti amatlah digalakkan supaya melaksanakan program kesejahteraan keluarga,” katanya pada majlis perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024 dan Program Jerayawara Santuni Komuniti Madani PEKA@LPPKN kawasan Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan hari ini. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya
Negeri, Datuk lr. Shahelmey Yahya.
Ketua Menteri berkata, perkembangan pesat teknologi, penggunaan gajet dan media sosial menjadi satu cabaran kepada keluarga sehingga kanak-kanak dan remaja kini terdedah kepada pelbagai pengaruh yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.
Beliau berkata, menurut kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNICEF) lebih 70 peratus kanak-kanak di Malaysia menggunakan internet sejak usia kecil, yang menuntut ibu bapa untuk lebih bijak dalam mengawal akses anak-anak kepada teknologi itu.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkenalkan program literasi digital untuk keluarga,” katanya.
Hajiji berkata, kesedaran keselamatan keluarga harus bermula daripada pendidikan dan latihan yang konsisten dan anak-anak perlu dididik dengan nilai keselamatan, sama ada dalam aspek fizikal, emosi, mahupun siber.
Menurutnya, berdasarkan statistik daripada Cybersecurity Malaysia, kes jenayah siber yang melibatkan remaja meningkat 15 peratus pada tahun 2023, menunjukkan pentingnya langkah-langkah pro-aktif daripada ibu bapa dan pendidik untuk melindungi generasi muda.
“Saya yakin usaha yang dilakukan melalui sambutan ini dan pelbagai program seperti PEKA@LPPKN dapat meningkatkan lagi kesejahteraan institusi keluarga di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga komited untuk memperkasakan wanita menerusi program-program pembangunan dan latihan yang memberi fokus kepada kesaksamaan gender kerana peranan wanita sebagai ibu, isteri dan anggota masyarakat, sangat penting dalam sesebuah keluarga.
Beliau berkata, aspek kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan dalam menjaga kesejahteraan keluarga kerana ia memberi implikasi yang besar kepada kestabilan
emosi dan sosial keluarga.


































