Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerajaan telah membekalkan sebanyak 64 televisyen litar tertutup (CCTV) kepada kepada tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pada tahun 2016 pihak Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (JKT, KPKT) telah melantik sebuah syarikat untuk membekalkan CCTV di bawah Program Bandar Selamat kepada tiga PBT.
“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dibekalkan sebanyak 24 CCTV, Majlis Perbandaran Tawau sebanyak 20 CCTV dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sebanyak 20 CCTV.
“Pembekalan ini adalah secara sewaan selama lima tahun bermula tahun 2016 hingga 2021 yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak JKT, KPKT.
“Setelah tempoh sewaan selesai, PBT masing-masing diminta untuk menyelenggara CCTV berkenaan,” kata beliau.
Beliau menambah, pihak JKT, KPKT juga mencadangkan kepada ketiga-tiga PBT yang terlibat untuk berunding secara terus dengan pihak syarikat untuk tujuan penyambungan sewaan CCTV agar pemantauan keselamatan dapat diteruskan.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah usaha Kementerian bagi memperbanyakkan pemasangan CCTV di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai sepertipusat membeli-belah, bandar baharudan kawasan taman perumahan untukmemastikan keselamatan sertapencegahan jenayah.
Sementara itu, Dr. Joachim berkata, MPS telah mengenal pasti lokasi-lokasi strategik yang baharu untuk pemasangan CCTV ini bagi menggantikan CCTV yang telah tamat tempoh sewaan dengan peruntukan JKT, KPKT.
“MPS sedang meneliti implikasi kewangan yang terlibat berdasarkan keupayaan kewangan semasa,” jelas beliau.
































