Jahid Jahim
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah amat prihatin dan tiada halangan berkaitan pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam satu geran tanah bagi keluarga yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, asalkan lot-lot tersebut telah dibahagi-bahagi lotnya dengan jelas serta disahkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) bagi mengelak masalah akan datang.
Namun demikian, katanya, pembinaan Rumah Mesra SMJ dalam lot tersebut pula, perlu mematuhi penetapan minimum teknikal iaitu tapak rumah perlu ada set- back area sepuluh kaki atau tiga meter daripada hujung perimeter parit Rumah Mesra SMJ.
Jelasnya, set-back area ini adalah bertujuan untuk:-
- Sebagai buffer zone atau zon penampan bagi mengelak daripada Rumah Mesra SMJ terdedah kepada kejadian tanah runtuh atau cerun runtuh atau terlalu hampir dengan jalan raya / terlalu hampir dengan tebing sungai dan lain-lain;
- Pencegahan daripada insiden kejadian kebakaran rumah secara berkelompok atau berdekatan; dan
- Agar infrastruktur sokongan Rumah Mesra SMJ seperti parit, tangki septik dan lurang atau tangki air dapat dibina pada ruang yang cukup dan sempurna.
Jahid berkata demikian semasa menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin. Beliau menjawab isu yang dibangkitkan oleh Jannie Lasimbang (Kapayan) and Arunamsin Taib (Gum-Gum).
Berkenaan perkara yang dibawa oleh Dumi Pg. Masdal (Silam), Jahid berkata, Rumah Mesra SMJ seperti yang dinyatakan dalam Terma dan Rujukan Pelaksanaan Rumah Mesra SMJ adalah seperti yang berikut:-
1) Berdaftar dalam pangkalan data eKasih; atau
2) Mangsa bencana (banjir, kebakaran, tanah runtuh, taufan); atau
3) Golongan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah; atau
4) Rumah daif.
Katanya, golongan penerima bagi keempat-empat kriteria di atas hendaklah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Focus Group Daerah (FGD).
Menjawab isu dibangkitkan oleh Jaffari Waliam (ADUN Dilantik), Jahid berkata, Kementerian melalui pejabat pelaksana (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis-majlis Perbandaran, Pejabat-pejabat Daerah dan Pejabat-pejabat Daerah Kecil) juga sentiasa memperingatkan dan memberi amaran kepada kontraktor yang tidak dapat menyiapkan Rumah Mesra SMJ mengikut tempoh yang ditetapkan.
Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Mesra SMJ, Jawatankuasa Pemantauan, dan Jawatankuasa Teknikal sentiasa memantau dan memastikan agar kontraktor dapat menyiapkan Rumah Mesra SMJ mengikut jadual dan tempoh yang telah ditetapkan, tambahnya.
Beliau juga ambil maklum berkaitan cadangan untuk penilaian semua harga Rumah Mesra Sabah Maju Jaya khususnya dari segi kos pengangkutan bahan binaan.
Kementerian diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 sebanyak RM106.43 juta bagi anggaran perbekalan) yang termasuk pejabat-pejabat daerah dan pejabat-pejabat daerah kecil, manakala RM243.50 juta bagi program pembangunan.
Jahid berkata, peruntukan ini akan digunakan untuk melaksanakan sebanyak 10 program-program sedia ada di bawah Kementerian, iaitu Projek Pembangunan Kecil; Program Ameniti dan Ekonomi Desa; Program Satu Daerah Satu Produk; Pembangunan Usahawan Desa; Peruntukan Khas ADUN-ADUN; Program Pembasmian Kemiskinan; Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah; Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA); Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA); dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.


































