Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mengadakan satu sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan Kerajaan pada 28 November ini untuk memurnikan senarai Ketua Isi Rumah (KIR) atau Ahli Isi Rumah (AIR) yang telah dikenal pasti dan layak di kawasan masing-masing bagi mendapatkan intervensi bantuan.
Katanya, ini bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Negeri Sabah.
Ketua Menteri menjawab isu dibangkitkan oleh Assaffal P. Alian (Tungku) semasa menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.
Berkenaan isu dibangkitkan oleh Assaffal dan Arunamsin Taib (Gum-Gum) mengenai status jumlah KIR dan AIR miskin dan miskin tegar dalam kawasan DUN Gum-Gum dan Tungku setakat September 2024 adalah seperti yang berikut, Hajiji berkata terdapat seramai 644 KIR miskin dan 73 KIR miskin tegar di Gum-Gum, manakala di Tungku ada seramai 1,285 KIR miskin dan 89 KIR miskin tegar.
Katanya senarai nama akan diserahkan kepada pejabat ADUN.


































