Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, Kementeriannya komited untuk meningkatkan hala tuju pemerkasaan sukan, atlet dan golongan belia di seluruh Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa Belanjawan Sabah 2025, yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun baru-baru ini, telah memperuntukkan sebanyak RM90.17 juta untuk perbekalan dan RM11.29 juta untuk tujuan pembangunan kepada KBS Sabah.
“Kami (KBS Sabah) yakin peruntukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai hala tuju kementerian. Dari awal, semua kakitangan KBS sudah disarankan untuk menghasilkan mutu kerja berkualiti dalam usaha memperkasa bidang sukan dan atlet tempatan kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Fairuz turut mengakui bahawa terdapat kekurangan dari segi infrastruktur, terutamanya untuk atlet yang berada di kawasan luar Kota Kinabalu atau jauh dari pekan utama.
“Namun, kekangan ini sedang diusahakan untuk diperbaiki dan ditambah baik secara berperingkat, bergantung kepada kesediaan dan dana yang diperoleh,” katanya.
Usaha Menyokong Atlet dan Persiapan Masa Hadapan
Menurut Fairuz, KBS Sabah juga berusaha gigih memberikan latihan dan merangka jadual untuk para atlet agar misi menghadapi pertandingan sukan pada masa hadapan dapat membuahkan hasil yang membanggakan.
“Walaupun atlet kita telah selesai beraksi di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak baru-baru ini, mereka tetap giat berlatih untuk perlawanan akan datang.
“KBS Sabah sentiasa menyokong dan berusaha memastikan segala aspek latihan serta keperluan para atlet dipenuhi. Kami tahu, bersaing dengan negeri lain adalah cabaran besar, tetapi jika segala keperluan atlet dipenuhi dengan baik, mereka pasti akan berusaha keras untuk mengharumkan nama Sabah di arena sukan,” jelasnya.
Dorongan Kepada Belia Berbakat
Fairuz turut menggesa belia yang berbakat dalam sukan untuk tampil ke hadapan dan menunjukkan potensi mereka.
“Saya yakin ramai belia kita mempunyai bakat sukan, tetapi peluang mereka terhad atau mereka kurang yakin untuk menonjolkan bakat. Jangan bimbang, tampil ke depan kerana Sabah memerlukan anda untuk menggerakkan nadi sukan negeri ini,” katanya.
Beliau juga menyeru pihak sekolah dan ibu bapa agar memberi dorongan kepada anak-anak yang berpotensi dalam bidang sukan.
“Jangan anggap kerjaya sebagai atlet tiada masa depan. Persepsi itu perlu diubah kerana zaman ini, kejayaan boleh dicapai dalam apa sahaja bidang yang diusahakan dengan tekad dan azam.
“Jika ada anak-anak yang berbakat, tidak kira sukan apa pun, berilah dorongan dan galakan agar mereka yakin untuk mempamerkan kemampuan mereka.
“Siapa tahu, anak yang bermain badminton di halaman rumah atau gelanggang sekolah hari ini, mungkin suatu hari nanti menjadi wakil Sabah di SUKMA dan membawa pulang kejayaan. Pastinya, ini akan menjadi kebanggaan ibu bapa dan guru,” tambahnya.
































