Ruben Amorim
LONDON: Pengendali baharu Manchester United, Ruben Amorim beranggapan prestasi hambar kelab itu sebelum ini adalah berpunca daripada kegagalan pengurus membawa idea sendiri.
Menurut Utusan Malaysia, The Sun melaporkan, Amorim memaklumkan kepada skuad United bahawa pengendali sebelum ini masih hidup dalam bayang-bayang Alex Ferguson yang menjadi punca kegagalan pasukan.
Amorim mengambil alih sesi latihan pertamanya sebagai ketua jurulatih baharu United pada Isnin lalu dengan harapan tinggi diletakkan kepada pengendali berusia 39 tahun itu.
Bekas pengendali Sporting Lisbon itu akan menjadi pengendali keenam mengemudi United selepas David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer dan Erik Ten Hag.
Sebelum ini, pengurus paling berjaya United, Ferguson telah membawa kelab itu memenangi 13 gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), lima Piala FA dan dua gelaran Liga Juara-Juara.
Laporan The Sun juga menyebut pemain sudah kagum dengan Amorim dan membuat perbandingan dengan salah seorang bekas pengendali pasukan berkenaan iaitu Mourinho.
“Dia memberitahu mereka bahawa pengurusan tidak meniru kejayaan Ferguson kerana mereka telah hidup dalam bayang-bayangnya, dan bukan membuat pasukan mereka bermain dengan semangatnya.
“Selain itu, terdapat ‘vibes’ Mourinho dalam cara Amorim bercakap dan kepercayaan dirinya tetapi caranya tetap berbeza.
“Pemain fikir dia sangat mudah didekati dan dia akan memahami mereka. Sebahagian daripada mereka memanggilnya Mourinho 2.0,” kata sumber kepada The Sun
Sesi latihan pertama Amorim tidak disertai skuad utama kerana ramai pemain bintang pasukan itu sedang bersama pasukan negara masing-masing.
Bagaimanapun, pemain seperti Marcus Rashford, Kobbie Mainoo, Casemiro, Luke Shaw dan Leny Yoro yang tidak terlibat dengan pasukan kebangsaan menyertai latihan.
Amorim akan mengendalikan perlawanan pertamanya pada awal pagi Isnin apabila Red Devils menentang Ipswich Town di gelanggang lawan.


































