Christina Liew
KOTA KINABALU: pembangunan Pusat Kebudayaan Negeri Sabah di Kinarut, Papar, akan dimulakan tahun depan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, pusat ini akan menjadi produk pelancongan baharu yang menonjolkan etnik dan budaya Sabah.
Sabah meraih pendapatan sebanyak RM5.62 bilion melalui sektor pelancongan setakat bulan September tahun ini.
Liew berkata, jumlah tersebut diperoleh daripada ketibaan seramai 2,416,131 pelancong ke negeri ini.
“Ini merupakan satu peningkatan yang memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan sebanyak 28.3 peratus berbanding tahun lepas. China menjadi penyumbang terbesar ketibaan pelawat antarabangsa, dengan 39 peratus, diikuti oleh Brunei Darussalam dan Korea Selatan,” katanya semasa menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Liew berkata, peningkatan ketara ini didorong oleh jumlah penerbangan yang lebih tinggi tahun ini, dengan 98 peratus ketibaan dicatat melalui pengangkutan udara.
Katanya, sebanyak 377 penerbangan domestik dengan kapasiti 66,546 tempat duduk seminggu menghubungkan Sabah dengan beberapa negeri di Malaysia. Bagi kategori antarabangsa, Sabah mempunyai 17 destinasi dengan 126 penerbangan seminggu, menyediakan kapasiti sebanyak 23,394 tempat duduk.
“Syarikat penerbangan AirAsia adalah penyedia utama perkhidmatan penerbangan antarabangsa, menghubungkan Sabah dengan 15 destinasi antarabangsa. Sukacita dimaklumkan, Sabah bakal menerima empat lagi laluan langsung antarabangsa pada bulan November dan Disember tahun ini,” tambahnya.
Beliau mendedahkan bahawa sektor pelancongan menyumbang RM13.0 bilion kepada ekonomi Sabah berdasarkan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah 2022.
Sebanyak 22.8 peratus atau 427,000 orang tenaga kerja di Sabah terlibat dalam sektor ini, jelasnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mempersetujui penurunan kuasa pengurusan alam sekitar kepada Kerajaan Negeri, bermula dengan Pengurusan Sisa Buangan Terjadual pada Januari 2026.
Liew menjelaskan, penurunan kuasa ini selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, sebagai persediaan, Kementerian telah mengambil langkah awal seperti meminda Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002, merangka peraturan berkaitan sisa buangan terjadual, dan membangunkan sistem pemantauan sisa secara dalam talian.
Memuji pembentangan Belanjawan Sabah 2025 yang bertemakan “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera”, dengan fokus kepada pembangunan lestari, Liew berkata, penghargaan atas peruntukan keseluruhan sebanyak RM155.27 juta kepada kementeriannya, peningkatan 4.49% berbanding tahun sebelumnya.
“Kementerian saya komited memastikan sektor pelancongan negeri terus berkembang, di samping memelihara dan memulihara alam sekitar serta warisan budaya,” katanya.
Sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kementerian telah melancarkan kempen Explore Sabah sepanjang 2025, menonjolkan tiga tema utama – Kebudayaan, Pengembaraan, dan Alam Semula Jadi.
Liew berkata, acara Mount Kinabalu International Climbathon pada tahun depan akan menjadi sebahagian daripada Skyrunner World Series, menonjolkan Sabah sebagai UNESCO ‘Triple Crown’.
“Selain promosi pelancongan, pewartaan kawasan perlindungan seperti Taman Teluk Darvel juga antara agenda utama kementerian. Pewartaan ini dijangka memberi limpahan sosioekonomi kepada Lahad Datu dan Kunak, terutamanya dengan keindahan Blue Ring Reef yang bakal menjadi daya tarikan baharu.”
Berhubung isu Travel Advisory di Pantai Timur Sabah, Kementerian sedang berusaha menyakinkan negara-negara luar mengenai tahap keselamatan di kawasan ini melalui pertemuan dengan duta-duta dan lawatan bersama ESSCOMM.
Selain itu, Liew menegaskan komitmen menangani pertumbuhan resort tidak terkawal di Semporna, dengan kerjasama Majlis Daerah Semporna untuk memastikan semua premis mematuhi peraturan dan berlesen.
Kementerian juga sedang menarik kembali potensi pelancongan dengan negara-negara jiran seperti Indonesia melalui program Business-to-Business (B2B) dan perbincangan laluan penerbangan baru dengan AirAsia.
Liew berharap usaha ini akan meningkatkan lagi daya saing sektor pelancongan Sabah serta memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat negeri ini.


































