Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah berjaya untuk meningkatkan jumlah peluang pekerjaan di negeri ini menerusi peningkatan hasil meskipun kadar pengangguran Sabah di tahap 7.9 peratus, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.
Katanya, usaha untuk meningkatkan aktiviti perindustrian dan pelaburan di Sabah sedikit-sebanyak dapat dilihat apabila statistik penduduk bekerja di Sabah telah meningkat kepada 2.1 juta penduduk pada suku ketiga tahun 2024, berbanding 1.9 juta penduduk pada suku kedua tahun 2022, berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin, Phoong berkata, sumbangan sektor pembuatan sebanyak RM6.03 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah pada tahun 2023 melonjakkan kadar pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah sebagai yang tertinggi di Malaysia.
Beliau berkata, pencapaian tersebut adalah hasil iltizam Kementerian beliau untuk membangunkan sektor perindustrian di negeri ini.
“Ternyata ia telah membawa hasil, apabila sumbangan sektor pembuatan di dalam KDNK Sabah telah meningkat kepada RM6.03 bilion pada tahun 2023 berbanding RM5.78 bilion pada tahun 2022.
“Kadar pertumbuhan bagi sektor pembuatan di Sabah pada tahun 2023 adalah sebanyak 4.4 peratus melebihi pertumbuhan purata sektor pembuatan Nasional iaitu sebanyak 0.8 peratus.
“Ini sekaligus melonjakkan kadar pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah yang tertinggi di Malaysia, dan momentum pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah ini dijangka akan terus berkembang positif pada tahun ini dan tahun-tahun hadapan,” kata beliau.
Sementara itu, Phoong memaklumkan bahawa syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. telah mengeksport sejumlah 1,257 tan kerajang tembaga (copper foil) bernilai RM67 juta setakat bulan Oktober 2024 ke Amerika Syarikat, Hungary, China dan Korea Selatan.
Dalam pada itu, katanya, setakat bulan Oktober 2024 ini juga syarikat Kumpulan Kibing telah mengeksport kaca solar sebanyak 165,551 tan bernilai RM243.96 juta ke India, Vietnam, Cambodia, Turkey dan Amerika Syarikat.
“Pada masa ini, kedua-dua kilang tersebut masih belum mencapai kapasiti pengeluaran sepenuhnya dan dijangka hasil pengeluaran ini akan meningkatkan apabila kedua-dua kilang tersebut beroperasi di tahap maksimum.
“Peningkatan eksport produk siap ini sudah pasti akan meningkatkan nilai eksport Sabah seterusnya meningkatkan lagi sumbangan sektor pembuatan di dalam KDNK negeri ini,” katanya.
Phoong berkata, terdapat beberapa pelaburan yang sedang diselaraskan yang telah mencapai pelbagai kemajuan yang positif.
Antaranya ialah Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dengan anggaran nilai pelaburan RM19.8 Bilion dan anggaran jumlah peluang pekerjaan seramai 2,795 orang.
Selain itu, katanya, ialah Curix Sdn Bhd – Korea Selatan dengan anggaran nilai Pelaburan RM300 juta dan anggaran jumlah peluang pekerjaan sebanyak 70 orang dan PFLNG 3 Sdn. Bhd. (PETRONAS ZLNG) – Malaysia, dengan anggaran nilai pelaburan tertakluk kepada penyempurnaan kontrak, dan anggaran jumlah peluang pekerjaan sebanyak 500 orang.
“Satu lagi pelaburan yang dikenal pasti ialah Kumpulan Kibing (Third Production Line) – China, dengan anggaran nilai pelaburan RM700 juta dan anggaran jumlah peluang pekerjaan seramai 600 orang.
“Selain itu, projek Kumpulan Kibing di Kimanis (pelaburan baharu), dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM7.2 bilion, dan anggaran jumlah peluang pekerjaan seramai 1,800 orang.
“Kementerian saya dengan kerjasama agensi yang berkepentingan akan terus komited untuk meyelaras dan memudahcara pelaksanaan pelaburan tersebut agar pengoperasian kilang-kilang ini dapat dipercepatkan,” kata beliau.
Phoong berkata, tatkala Kementeriannya menumpukan kepada pelaburan asing, pembangunan industri tempatan juga tidak pernah dilupakan dan diabaikan, memandangkan mereka adalah penggerak serta penyumbang utama kepada sektor pembuatan di Sabah.
“Dalam usaha untuk memperkasakan lagi industri tempatan, saya telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan Jelajah Santuni Industri Tempatan.
“Setakat ini, saya telah mengadakan lawatan ke 50 kilang tempatan di daerah Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Kunak, Inanam, Sandakan, Tenom dan Keningau yang terdiri daripada pelbagai industri termasuk makanan (sos, ais krim, kerepek, kopi, mi, ikan bilis, makanan laut), produk plastik, minuman, perabot, serta produk binaan seperti batu bata,” katanya.
Menurut beliau, matlamat jelajah ini adalah untuk menelusuri rintihan, cabaran, keperluan dan inisiatif penambahbaikan oleh industri tempatan, baik dari segi dasar mahupun apa-apa jua usaha di peringkat Kerajaan yang boleh dilaksanakan untuk memacu pertumbuhan industri tempatan di negeri ini.
Selain itu, katanya, jelajah ini juga bertujuan untuk memberi sokongan dan menggalakkan kepada industri tempatan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka, serta memperkukuh daya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Phoong berkata, bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri melalui pembangunan keusahawanan di negeri Sabah, pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) akan terus diberi tumpuan sebagai industri pendukung dan pemangkin kepada sektor pembuatan.
Berhubung sumber bahan mentah pasir silika, Phoong menjelaskan, pada masa ini belum terdapat sebarang aktiviti pengeksportan bagi bahan mentah tersebut.
“Ketika ini, pasir silika tersebut sedang digunakan untuk tujuan industri hiliran pembuatan kaca solar oleh syarikat Kumpulan Kibing di KKIP, dan Kementerian saya sentiasa berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan untuk menyokong industri sedia ada seterusnya melengkapkan ekosistem industri pembuatan panel solar sepertimana yang dicadangkan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, industri berasaskan Ekonomi Biru dan keselamatan makanan turut akan diberi tumpuan dalam taman perindustrian baharu yang akan dibangunkan.
Beliau turut mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kepada Kerajaan Negeri yang telah menyediakan peruntukan sejumlah RM64.05 juta kepada Kementerian beliau, iaitu RM29.15 juta bagi peruntukan perbekalan dan RM34.90 juta bagi peruntukan pembangunan.
“Jumlah peruntukan ini jelas mencerminkan bahawa sektor perindustrian adalah merupakan salah satu tunjang dan sandaran utama pembangunan ekonomi negeri ini,” katanya.






























