M. Kulasegaran (tengah) semasa menjawab soalan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat. – Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Polis kini dibenarkan membeku dan merampas akaun keldai yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah kewangan dalam talian.
Tindakan demikian boleh diambil berdasarkan penguatkuasaan Rang Undang Undang (RUU) Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 untuk meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) pada 30 Oktober lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, pindaan terhadap Akta 574 dan Akta 593 memfokuskan kepada mewujudkan kesalahan jenayah dalam talian berkaitan akaun keldai.
Katanya, peruntukan baharu itu memberi kuasa kepada pegawai polis menyita wang yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah yang disimpan dalam apa-apa institusi kewangan.
“Dalam hal ini, pindaan kepada Akta 593 antara lain telah memasukkan peruntukan baharu seksyen 116D untuk memberi pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan.
“Polis diberi kuasa menyita atau melarang urusan dalam apa-apa wang yang dipegang dan disyaki untuk dipegang dalam mana-mana instrumen pembayaran atau mana-mana akaun di institusi kewangan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan,” katanya semasa Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang memintanya menyatakan bila kerajaan akan memperkenal undang-undang yang memberikan kuasa kepada polis atau bank untuk menyekat sementara urus niaga perbankan bagi individu yang menjadi sasaran penipuan.
Kulasegaran berkata, pindaan tersebut membolehkan polis tidak hanya menyita tetapi menghalang akaun itu dibuat urus niaga lain dengan tujuan menghalang duit mangsa penipuan atau scam dikeluarkan daripada akaun keldai berkenaan.
Katanya, seksyen 435 Akta 593 menjelaskan kuasa polis untuk menyita harta yang disyaki sudah dicuri termasuk penipuan yang lebih menjurus kepada harta fizikal.
“(Oleh itu), polis boleh menghalang sekiranya mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa suatu kesalahan telah dilakukan dan mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa harta telah digunakan atau bertujuan digunakan bagi melakukan suatu kesalahan.
“(Selain itu), polis mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa harta tersebut merupakan bukti bagi suatu kesalahan,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan, Kulasegaran berkata, kerajaan sedang dalam usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang diyakini dapat menangani jenayah kewangan dalam talian.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, kerajaan mahu memastikan suasana dalam talian menjadi lebih selamat untuk rakyat Malaysia terutama bagi kanak-kanak.
“RUU baharu ini akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan mana-mana kandungan yang dilaporkan sebagai kandungan memudaratkan.
“Di bawah RUU baharu ini, jenayah kewangan dalam talian akan dikategorikan sebagai kandungan serius diberi keutamaan, bermakna sekiranya satu-satu kandungan itu dilaporkan sebagai jenayah kewangan dalam talian maka penyedia mempunyai kewajiban untuk menurunkan,” jelasnya.
Katanya, RUU tersebut akan dibentangkan Jemaah Menteri tidak lama lagi untuk melakukan pertimbangan.
Tambahnya, beliau dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa terdapat regulasi sedia ada yang boleh dikuatkuasakan sekiranya terdapat pihak bank terlibat dalam jenayah scam.
“Satu kes di Kota Kinabalu, saya difahamkan wang yang tertipu oleh pegawai di bank tersebut, selepas penyiasatan, wang itu telah diberi semula kepada mangsa. Kes itu masih dalam mahkamah maka saya tidak dapat beri maklumat lebih,” katanya.


































