James Ratib
KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) merekodkan seramai 21,504 penerima Skim Bantuan Am (SBAM) dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4,719,740 di negeri ini setakat bulan November 2024.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, daripada angka tersebut, 732 orang jumlah penerima adalah penghidap sakit buah pinggang.
”Setakat bulan lalu, Sabah merekodkan 2,182 pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir (ESRF) yang mana daripada jumlah ini, 1,385 pesakit menjalani rawatan hemodialisis manakala 797 pesakit menjalani rawatan dialisis peritoneal ambulatori berterusan (CAPD),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Dumi Pg. Masdal (Silam) yang bertanya adakah Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk membantu golongan B40 yang merupakan pesakit dialisis yang dikenakan bayaran rawatan cuci buah pinggang sebanyak RM13 untuk dikecualikan daripada membayar bayaran tersebut dan berapakah bilangan pesakit buah pinggang di seluruh Sabah.
James berkata, belum ada cadangan untuk mengecualikan pembayaran kos (RM13) tersebut.
Walau bagaimanapun, katanya, Kerajaan melalui JPKA ada menyediakan SBAM yang boleh dipohon oleh pesakit buah pinggang di bawah kategori B40 yang layak.
”Pemberian bantuan ini adalah untuk meringankan beban pesakit termasuklah kos membayar rawatan hemodialisis mereka,” kata beliau.


































